Wednesday, May 23, 2012

CERPEN MISTERI : Nak balik ker dah tahu ....


NAK BALIK KER DAH TAHU ….
            Hanis renung jam di pergelangan tangan. Ruangan perpustakaan masih agak ramai dengan pelajar yang mahu membuat ulangkaji. Waktu peperiksaan beginilah perpustakaan itu akan penuh dengan pelajar.
            Hanis tersenyum sendiri melihat pelajar yang sedang tekun membaca buku, ada juga yang sedang berlatih menjawab soalan secara berkumpulan malah ada juga yang sedang mengambil peluang ber’dating’ di perpustakaan tersebut.
            Hanis teruskan membaca novel bersiri yang amat diminatinya itu sambil menunggu Fazli yang masih tidak muncul. Hanis dapat melihat seorang lelaki yang agak berusia dengan tekun membaca buku.
            “Pelajar luar kampus barangkali.” Bisik hati Hanis sendiri. Kebanyakkan pelajar Luar Kampus memang terdiri dari mereka yang sudah berusia. Mereka selalu merupakan golongan pekerja yang belajar separuh masa di universiti tersebut.
            Sudah hampir dua jam menunggu namun Fazli masih tidak datang. Hanis cuba menghubunginya namun telefonnya tidak berangkat. Hanis tarik nafas bosan. Dia tidak mahu terus menunggu dan buang masa. Hanis mengambil keputusan untuk terus mengulangkaji pelajaran sendirian.
            Hanis buka buku latihan bersama dengan kertas soalan peperiksaan lalu. Hanis terus membuat latihan dengan tekun hingga tidak sedar masa yang terus berlalu.
            “Adik boleh abang duduk!” Satu suara mengejutkan Hanis yang sudah terlentok pada meja. Hanis tidak sedar yang dia sudah tertidur semasa tekun mengulangkaji.
            Hanis pandang seluruh kawasan perpustakaan yang sepi. Mungkin waktu sudah semakin lewat hanya kelihatan beberapa orang petugas yang sedang menahan rasa mengantuk di kaunter.
            “Adik boleh abang duduk?” Ujar lelaki itu lagu kepada Hanis yang masih mengantuk.
            Hanis mengangguk sambil mengesat matanya yang masih layu itu. Hanis seperti pernah melihat lelaki tadi. Rupanya itulah lelaki yang agak berusia yang dia lihat sebentar tadi.
            “Ulangkaji seorang saja, kamu tidak takut?” Lelaki tersebut memulakan bicaranya.
            “Ramai orang dekat sini nak takut apa!” Jawab Hanis agak berjenaka.
            Lelaki itu tersenyum nipis.
            “Adik baca novel misteri. Mesti suka cerita-cerita misteri.” Lelaki tersebut membelek novel misteri yang ada dihadapan mereka.
            “Bolehlah layan-layan rasa bosan.” Balas Hanis kepada lelaki yang mudah mesra.
            “Adik dah lama belajar di sini?” Soal lelaki itu lagi.
            “Adalah dekat 3 tahun, lagipun dulu saya buat diploma dan sekarang sambung ijazah.” Hanis pandang sekeliling yang makin sepi. Dia lihat jam di kaunter berdekatan. Jam bary menunjukkan pukul 10 malam.
            “Hmm .. masih awal lagi tapi dah sunyi pula.” Hanis rasa hairan, selalunya pelajar menunggu hingga perpustakaan itu tutup barulah mereka beredar. Waktu musim peperiksaan begini, perpustakaan akan beroperasi hingga pukul 12 malam.
            “Wah dah lama kamu belajar di sini yer. Hmm kamu tak ada mendengar tentang cerita misteri dalam universiti. Ceritalah boleh hilangkan rasa mengantuk.” Mesra saja lelaki tersebut membuka bicara.
            “Entahlah abang, saya jarang layan cerita-cerita karut dalam universiti. Malas saya nak percaya.” Balas Hanis lagi.
            “Oh begitu rupanya. Kamu selalu belajar hingga lewat begini, tak takutkah!” lelaki tersebut seperti ingin mengusik Hanis.
            “Ramai orang sekitar kawasan ini, buat apa nak takut.” Sanggah Hanis. Inilah pegangannya pun selama ini.
            “Kamu yakin mereka itu orang entah-entah …” Suara lelaki itu perlahan dan menyeramkan. Hanis tahu dia sengaja ingin menakutkan Hanis.
            “Hish menakutkan saya sajalah. Saya pergi tandas sekejablah.” Hanis rasa ingin memcuci muka sebelum balik.
            Hanis melangkah menuju tandas sambil mengelengkan kepalanya mengingati kembali kata-kata lelaki berkenaan.
            Kembali dari tandas, Hanis mendapati lelaki berkenaan sudah tiada. Hanis memandang seluruh kawasan tersebut untuk mencari keliba lelaki tadi. Dia terpandang lelaki tadi yang sedang  berada berdekatan rak hadapan. Hanis tersenyum namun dia kemudian tersedar sesuatu, dia kembali menoleh dan merenung lelaki terbabit.
            “Ha!” Mulut Hanis ternganga. Dia dapat melihat lelaki tadi bergerak namun kakinya tidak menjejak lantai. Hanis telan air liur menahan rasa takut. Dengan pantas dia mengemaskan semua buku dan barangan untuk beredar dari perpustakaan tersebut.
            Hanis angkat beg dan melangkah laju keluar dari pintu perpustakaan. Hanis letak kad atas kaunter dan ingin berlalu dengan laju namun dia terlanggar seseorang.
            “Maaf bang, maaf.” Ujar Hanis tergesa-gesa menguti kembali barangnya yang terjatuh.
            “Takpe … hai kenapa kamu terburu-buru. Nak kemana ni?” Soal lelaki yang dilanggarnya.
            Jantung Hanis berdenyut kencang, suara itu seperti pernah didengarnya. Hanis mendongak perlahan.
            “Ha…” Jantung Hanis seakan tidak berdenyut lagi. Rupanya itulah lelaki misteri yang menegurnya tadi.
            “Nak kemana terburu-buru?” Soal lelaki itu lagi dengan renungan tajam kepada Hanis.
            “Nak balik …” Jawab Hanis dengan suara yang terketar-ketar. Dia sudah bersedia untuk memecut lari.
            “Nak balik ker dah tahu ….” Suara lelaki itu penuh sinis dan menyeramkan. Hanis tidak menunggu lagi, dia terus membuka langkah seribu. Hanis berlari dengan sekuat hati tanpa menoleh belakang lagi.
                                    ******************************
            Fazli merenung pelajar yang masih beratur panjang dihadapannya. Dia renung jam di pergelangan tangan. Fazli tahu dia sudah terlambat untuk berjumpa dengan Hanis di perpustakaan.
            “Habislah aku.” Keluh Fazli yang tahu pasti dia akan dimarahi oleh Hanis nanti.
            Pelik Fazli melihat mesin ATM yang penuh dengan orang menunggu giliran dan dia terpaksa beratur panjang. Selalunya waktu malam begini orang sudah berkurangan.
            “Aduh ramai pula orang malam ini.” Fazli mengeluh agak kuat.
            “Betullah adik, abang pun dah tunggu lama ni!” Sampuk seorang lelaki yang berada di hadapan Fazli.
            “Oh pagi tadi okay saja saya tengok. Mungkin duit biasiswa dah keluar kot.” Balas Fazli pula memulakan perbualan dengan lelaki yang agak berusia dihadapannya itu.
            “Kamu dah lama belajar di sini?” Ujar lelaki itu untuk meneruskan perbualan dengan Fazli.
            “Lama jugalah bang dalam 4 tahun begitu.” Fazli gembira bila dapat berbual begitu, sekurangnya dia tidaklah rasa terlalu bosan menunggu.
            “Lambat lagi ni. Kamu tidak takutlah keluar belajar malam-malam begini?” Tambah lelaki itu lagi.
            “Susahlah kalau takut bang, hidup pelajar memang begini. Siang malam macam tiada bezalah.” Fazli tahu sebagai pelajar begitulah dunia mereka.
            Ada waktunya mereka terpaksa belajar hingga awal pagi untuk menyiapkan sesuatu tugasan. Dia juga sudah tidak hairan dengan perkara begitu.
            “Betul juga kata-kata kamu, tak ada cerita misteri dalam kampus!” Soal lelaki itu lagi.
            “Banyak bang tapi saya malas layan. Lagipun mereka yang suka tambah-tambah cerita. Hahahaha.” Fazli mula rasa selesa bersembang dengan lelaki tersebut.
            “Kamu tak takut?” Lelaki itu merenung Fazli lagi.
            “Ramai orang bang buat apa nak takut. Hahaaha …” Fazli ketawa lagi. Dia rasa kelakar dengan pertanyaan lelaki tersebut.
            “Hahaaha betul juga tapi cuba kamu tengok semua yang sedang berbaris di hadapan kita, kamu yakinkan mereka ini orang biasa!’ Soal lelaki itu perlahan dengan suara yang menyeramkan.
            “Hahaha .. pandailah abang buat lawak.” Fazli rasa terhibur dengan cara lelaki itu cuba membuat lawak.
            Agak lama beratur akhirnya sampailah masa mereka berdua. Lelaki tersebut mendekati mesin ATM. Dia kemudian menoleh dan mengeluarkan kad bank.
            Fazli meraba poket seluar dan mengeluarkan kad bank. Namun kad tersebut tersangkut pada bajunya dan jatuh kebawah.
            Fazli tunduk untuk mengambil kad banknya semula. Kad itu terjatuh betul-betul belakang lelaki tadi. Saat mencapai kad yang terjatuh atas lantai Fazli dapat melihat kaki lelaki tersebut. Dia bangun namun Fazli seperti rasa ada yang tidak kena.
            Dia tunduk dan merenung semula  sepasang kaki lelaki tersebut. Kakinya tidak memijak lantai lansung. Dada Fazli berombak kasar dan jantungnya mula berdenyut kencang.
            Fazli menoleh belakang dan melangkah meninggalkan tempat itu dengan segera. Dia pantas belari menuju tempat meletakkan kereta. Fazli memicit punat dah membuka pintu kereta pantas.
            “Adik kenapa terburu-buru, nak kemana?” Satu suara menegur Fazli saat Fazli ingin menutup pintu kereta.
            Fazli menoleh, namun dia terpandang wajah lelaki yang berbual dengannya tadi.
            “Saya nak balik …” Balas Fazli dengan suara yang tersangkut-sangkut.
            “Nak balik ker … dah tahu …” Ujar lelaki tadi dengan suara menyindir dan menyeramkan.
            Fazli menekan pedal minyak dan menutup pintu kereta dengan pantas. Dia kemudian meluncur laju meninggalkan kawaan kampus dengan seluruh badan yang dibasahi peluh.
                        *********************************

CERPEN PATRIOTIK : PERWIRA 5 BERSAUDARA


PERWIRA LIMA BERSAUDARA
Awan hitam yang berarak laju atas kepala makin gelap dan kelabu. Asap hitam dan habuk yang muncul dari celahan bangunan runtuh memenuhi ruang udara. Rizan tutup mulutnya dengan tangan. Dia  jadi makin gelisah dan risau dengan keadaan persekitaran. Udara sudah tercemar dan dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang makin tinggi.
Cuaca pula seakan bergelap dan malam dengan cahaya samar.
“Rizan berapa lama lagi kita terpaksa begini?” Suara Hakimi yang penuh kerisauan seakan tidak kedengaran.
Keadaan di situ menjadi porak peranda. Bandar itu seakan sudah musnah dan hancur.
Rizan hanya mengelengkan kepala kepada kawan baiknya itu. Dia juga tidak punya jawapan.
“Gone City” sudah bergelap hampir seminggu rasanya. Semuanya akibat serangan raksasa pelik yang menyerang bandar itu tiba-tiba.
            Rizan tekan punat pada jam besar di pergelangan tangan. koordinasi nombor yang kelihatan di permukaan jam bertukar ganti dengan pantas.
“Hakimi kita kena bertindak cepat. Mereka dan sampai!” Rizan menjadi risau sambil memandang langit. Koordinasi nombor yang bergerak pantas menunjukkan kewujudan raksasa gergasi  makin menghampiri mereka.
Awan yang bergerak pantas juaga bagaikan petanda ada perkara buruk yang akan berlaku.
Hakimi  semakin risau. Dia tahu keadaan sudah semakin serius.
“Arhhh tolong !!!! tolonggg !!!”
Tiba-tiba terdengar satu jeritan kuat.
Di satu arah kelihatan ramai orang mula lari lintang pukang.
Mereka seolah-olah sedang dikejar sesuatu.
Rizan dan Hakimi saling berpandangan.
“Cepat kita kena selamatkan “Gone City”!” Laung Rizan penuh semangat.
Mereka berdua dengan pantas menekan punat pada jam besar di pergelangan tangan.
“Robot Biru bersedia, tukar pakaian!” Ujar Rizan  memberi arahan.
Satu cahaya biru mula menyelubungi Rizan. Bajunya berganti dengan pakaian seragam robot lengkap bersenjata berwarna biru.
“Robot Merah bersedia, tukar kenderaan !!!” Jerit Hakimi pula.
Satu cahaya merah pula menyelubungi Hakimi dan kemudian dia bertukar menjadi kereta pacuan empat roda berwarna merah. Kereta itu besar dan warnanya bersinar-sinar.
Dengan lagak seorang superhero, Rizan buka pintu kereta penuh gaya. Dia kemudian  memandu kereta tepat ke arah raksasa pelik yang sedang mengejar orang ramai.
“Keluarkan peluru berpandu!” Rizan menekan punat yang ada dalam kereta tersebut.
Dari bahagian tepi kereta kelihatan peluru berpandu sudah sedia dilepaskan.
“Tembak !!!”
Rizan menekan punat berkali-kali. Dia harus memastikan tembakan itu terkena sasaran.
“Dushh!!! Dushhh!!! Dushhhh!!!!”
Beberapa peluru sudah menembusi badan raksasa tersebut. Namun raksasa itu masih bertahan. Dia menghampiri Rizan dengan muka ganas.
Hati Rizan mula berdebar namun dia kuatkan juga semangat. Dia mesti selamatkan bandar “Gone City” dari serangan raksasa pelik tersebut.
Raksasa tersebut mengeluarkan api dari mulutnya dan menghala tepat kepada arah Rizan.
Kereta terbakar dan terpelanting jauh.
Rizan jadi marah. Dia keluar dari kereta dengan seluruh badan yang terbakar.
“Jurusan maut!!!” Jerit Rizan lagi dengan kuat. Rizan cuba melawan raksasa pelik yang ingin memukulnya. Rizan mengelakkan kepalanya dari diketuk tangan besar raksasa tersebut.
“Ahhh serangg!!! Nak ambil … ambil !!!” Rizan ingin membalas serangan itu dengan memukulnya kembali.
“Rizannnn !!!!”
Satu jeritan kuat memanggil namanya. Dia buka mata perlahan nampak wajah ibu yang menyinga di hadapannya.
“Rizan bangun!!! Bangun mandi!”
Jeritan ibu bergema. Rizan mengosok matanya berkali-kali.
Dia rasa pelik kenapa raksasa pelik itu boleh bertukar menjadi wajah ibu. Kenapa mereka berada dalam biliknya dan bukan di “Gone City”.
“Mustahil aku bermimpi lagi nie!” Rizan jadi keliru.
Mungkin raksasa itu sengaja ingin mengelirukan aku.
“Serangggg hapuskan raksasa gemukkk!!!” Rizan menghalakan tangannya tepat kearah ibu.
Puan Suraya tambah geram. Anaknya itu masih tidak sedarkan diri.
“Hei Rizannn …. buka mata tu!” Puan Suraya terus memulas telinga Rizan dengan kuat.
Rizan terkejut matanya terbuka luas.
Rizan pandang seluruh bilik yang penuh dengan pelbagai poster superhero. Ada poster Superman, Batman, Spiderman dan banyak lagilah. Dia rasa pening tiba-tiba.
“Kamu tunggu apa lagi … cepatttt!” Ibu cekak pinggang dengan muka yang merah padam. Rambut ibu mengerbang seperti singa lapar.
“Aduh sakitlah ibu!” Rizan melompat dari katil. Dia dengan pantas mencapai tuala dan berlari ke bilik air.
Puan Suraya kemaskan katil anak sulungnya yang berselerakan. Bantalnya semua jatuh kelantai.
“Hish … asyik-asyik berangan jadi superhero.” Rungut puan Suraya sambil membuka tingkap bilik Rizan.
Anak lelakinya itu memang sangat fanatik dengan superhero. Tengoklah poster-poster yang memenuhi biliknya itu hinggakan terbawa-bawa dalam mimpi.
                                                ******************************
            Rizan sudah berkali-kali menguap. Dia rasa sangat mengantuk. Semalam dia bermain permainan komputer hingga lewat malam. Cikgu Rodziah yang sedang menerangkan sesuatu dihadapan langsung tidak menarik perhatiannya.
Rizan ingat lagi dengan mimpinya semalam. Dia sangat teruja dengan mimpi itu namun mimpi indahnya itu terganggu. Raksasa di “Gone City” berganti dengan wajah ibu pulak.
Rizan tergelak sendiri. Dia rasa kelakar.
“Rizan, kenapa senyum sendiri ni. Okay bangun dan jawab soalan saya.” Dari depan cikgu Roziah sedang memberikan arahan kepada Rizan.
Rizan tersentak. Dia bangun perlahan. Semua pelajar sedang merenungnya.
Cuba kamu namakan perwira yang merupakan pahlawan Melaka pada zaman dahulu?” Cikgu Roziah berjalan menghampiri Rizan.
Dahi Rizan berkerut dia cuba memikirkan jawapannya namun buntu. Kosong!
“Hai mustahil kamu tidak kenal superhero yang lima bersaudara!” Cikgu Roziah mula memberi klu kepada Rizan.
Rizan gelengkan kepala. Dia betul-betul tidak tahu.
“Baiklah saya bagi klu … mereka perwira lima bersaudara. Kiranya merekalah superhero pada zaman dahulu!”
Cikgu Rodiah ingin membantu Rizan menjawab.
Rizan masih terkumat-kamit dengan dahi yang berkerut. Dia pandang pada Hakimi yang berada jauh belakang kelas.
“Mustahil kamu tidak tahu superhero berlima yang sangat terkenal itu.”
Ujar Cikgu Roziah mengelengkan kepala.
Pelajar sekarang kurang mengambil tahu tentang sejarah lama malah mereka tidak kenal langsung dengan tokoh-tokoh sejarah.
Rizan tahu tentu cikgu Roziah kecewa dengan pengetahuannya yang amat cetek.
Rizan pandang seluruh kelas dengan rasa malu.
“Selagi kamu tak jawab selagi tulah kamu kena berdiri.” Cikgu Roziah sengaja menegaskan suaranya bila melihat Rizan menutup rapat mulutnya tanpa mahu cuba menjawab.
Hakimi silangkan tangannya. Dia seakan memberi isyarat kepada Rizan. Rizan senyum dia sudah tahu jawapannya.
Power Ranges cikgu!” Rizan menjawab dengan selamba.
Berderai ketawa satu kelas. Seluruh kelas mengelengkan kepala dengan ketawa panjang.
Rizan tertunduk malu.
Cikgu Roziah juga tersenyum nipis.
“Kamu ni Rizan, balik nanti kamu cari dalam internet. Tanyakan sesiapa atau apa saja caranya. Esok kamu mesti bagi jawapan di hadapan kelas.”
Cikgu Roziah menyuruh Rizan duduk. Dia kemudian melangkah kehadapan kelas.
“Pelajar semua ingat esok kita akan dengar cerita dari Rizan tentang perwira lima bersaudara.”
Cikgu Roziah mengemas buku dan fail atas meja.
Dari belakang Rizan renung langkah cikgu muda itu dengan rasa kesal. Dia susah hati memikirkan  tugasan itu.
“Habislah aku!” Bisik Rizan dalam hati.
Rizan dapat melihat wajah teruja seluruh kelas yang seakan sudah tidak sabar untuk ketawa padanya.
Dia rasa risau dan gelisah memikirkan perkara itu.
                                                ******************************
            Nasi di  pinggan seakan tidak terusik langsung. Wajah risau anaknya itu ketara sekali.
Puan Suraya sumbat nasi kedalam mulut sambil merenung tajam kewajah Rizan.
Tangan Rizan kelihatan menguis nasi perlahan-lahan. Dia kemudian ingin sumbatkan nasi dalam mulut namun tak jadi. Anaknya itu macam sedang menanggung masalah besar saja.
“Macam angau jer ni …!”
Puan Suraya minum air perlahan.
“Rizan, ibu masak tak sedap ker?” Soal puan Suraya sengaja ingin melihat respon Rizan. Anaknya itu hanya mengeleng perlahan.
“Kenapa ni ada raksasa gemuk serang kamu tengah jalan ker!” Puan Suraya cuba berjenaka.
Puan Suraya senyum nipis. Dia rasa lawak teringat akan peristiwa pagi tadi.
Wajah Rizan makin masam. Dia pandang ibunya geram.
Rizan bangun menuju singki. Dia terasa yang ibu sengaja ingin menyindirnya.
“Uish Power Rangers mana boleh marah-marah!” Ajuk ibu lagi. Dia menghampiri Rizan.
“Ibu ni …” Rizan sudah tidak tahan lagi. Dia malu bila fikirkan gelagatnya pagi tadi.
“Kenapa dengan hero ibu ni?” Tanya puan Suraya lagi.
“Rizan peninglah, cikgu dekat sekolah tadi tanya bukan-bukan!” Rizan mula membuka cerita.
Ibu mengangguk perlahan.
“Lah ingatkan masalah cinta tadi …” Usik ibu lagi.
Rizan jeling ibunya. Dia makin geram.
“Ibu ni main-main pulak!” Rizan melangkah pantas menuju ruang tamu.
Dari dapur puan Suraya tersenyum sendiri. Rizan manja sebab dia anak tunggal. Puan Suraya selalu manjakan anak lelakinya itu. Dia tidak bekerja jadi Rizan mendapat sepenuh perhatian ibunya.
            Rizan tekan punat televisyen. Dia pandang jam besar yang tergantung di dinding.
“Yess!” Rizan senyum lebar. Sekarang siaran untuk rancangan Wonder Pets. Nasib baik dia tidak ketinggalan.
Dia duduk atas sofa sambil melayan rancangan itu dengan wajah riang.
“Kenapa tak panggil ibu  tengok sekali, nasib baik sempat tengok.”
Usik ibu sambil duduk sebelah Rizan. Rizan terus mencebik bibir pada ibunya.
“Kenapa dengan anak ibu ni. Cikgu tanya apa ni Rizan!” Puan Suraya cuba memujuk anaknya itu.
“Cikgu Rizan tanya siapa  perwira lima bersaudara. Manalah Rizan tahu.” Balas Rizan dengan suara perlahan.
“Hish bukan Power Rangers ker!” Sengaja puan Suraya ingin berjenaka.
“Ibu ni bukanlah!” Marah Rizan. Dia tahu ibu sengaja ingin mengusiknya.
“Kalau nak kata Ninja Turtle, mereka tiga bersaudara pula …” Puan Suraya bangun. Dia jalan mundar mandir seperti memikirkan sesuatu.
“Ibu! Bukanlah … lima bersaudara perwira zaman dahululah!” Bentak Rizan yang tidak tahan melihat ibu yang sengaja mengusiknya.
“Ohh senang je tu, Ibu pun tahu!” Balas puan Suraya dengan lagak sombong.
Rizan seperti tidak percaya. Dia mula menghampiri ibunya dengan senyuman manis.
“Ibu beritahulah Rizan … Lagipun esok cikgu nak Rizan ceritakan depan kelas.” Jelas Rizan melahirkan kerisauan pada ibunya.
Puan Suraya tambah paham kenapa anaknya itu gelisah sangat.
“Patutlah … Rizan takut nak cerita depan kelas yer.” Tambah ibu.
Rizan angguk. Memanglah dia takut nak bercerita di hadapan kelas. Semua kawan-kawan mesti akan tertawakan dia nanti.
“Itulah Rizan … asyik agung-agungkan superhero barat jer. Kita sendiri pun ada superhero tau!” Gomel ibu lagi.
Rizan dengar saja leteran ibunya itu.
“Ibu cepatlah siapa lima bersaudara tu!” Rizan sudah tidak sabar untuk mendengar jawapan ibu.
Lima bersaudara itu tentulah Hang Tuah dah kawan-kawannya!” Ibu mula membuka cerita.
Rizan sikit terpinga. Rasanya dia pernah mendengar nama itu cuma dia kurang kenal.
“Hang Tuah dan kawan-kawan?” Soal Rizan pada ibu.
“Hang Tuah, Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu. Sejak kecil lagi mereka telah menjadi superhero. Mereka melindungi  orang Melaka dari sebarang kejahatan. Mereka ada kuasa dalaman yang hebat tau, kuasa yang boleh mengalahkan semua musuh!”
Terang ibu panjang lebar.
“Maksud ibu Hang Tuah dan kawan-kawan ada kuasa misteri!”
Rizan semakin teruja untuk mendengar cerita yang keluar dari mulut puan Suraya.
“Kuasa misteri yang mereka dapati setelah mendalami ilmu persilatan. Mereka bertapa selama beberapa bulan untuk dapatkan kuasa itu. Kuasa itulah yang menolong mereka menumpaskan  semua musuh.” Puan Suraya semakin bersemangat untuk meneruskan ceritanya. Tambahan pula, Rizan seperti terpaku memandangnya tanpa berkelip langsung.
“Kuasa apa tu ibu!” Rizan semakin teruja.
Dia tidak sabar  untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
“Rizan ibu dahagalah …!” Sengaja puan Suraya menekan suaranya yang agak serak itu. Rizan membentak. Dia tahu ibu sengaja ingin mengusiknya.
“Ibu nie cepatlah! Kuasa apa yang mereka ada ibu?”
Soal Rizan semakin tidak sabar.
“Okaylah ibu sambung. Cuba Rizan fikir zaman dahulu mana ada senjata. Mana ada baju pelindung yang tebal-tebal tu. Tetapi dengan adanya kuasa tersebut. Perwira lima bersaudara tetap berjaya menyelamatkan Melaka dari sebarang ancaman musuh. Hebat tak kuasa itu, Superhero berganda-ganda tak mereka?” Soal puan Suraya sengaja ingin anaknya itu lebih berfikir.
“Tentu kuasa itu sangat hebat!” Rizan menjadi sangat taksub.
“Mestilah, cuba Rizan fikir mereka masih kecil tapi sudah mampu mengalahkan orang dewasa yang jahat. Mereka berjaya mengusir penjajah yang cuba menawan Melaka pada zaman itu. Bayangkan penjajah datang dengan kapal besar tapi lari pulang sebab takutkan mereka!”
Tambah puan Suraya yang makin semangat bercerita.
“Hebatnya kuasa tu!” Rizan mula membayangkan tentang kuasa misteri tersebut.
“Salah, bukan kuasa tu yang hebat tapi mereka berlima yang hebat! Tanpa mereka kuasa itu tidak boleh boleh buat apa-apa pun.”
Puan Suraya betulkan pandangan anaknya.
“Maksud ibu mereka yang lagi hebat dari kuasa tersebut! Wah hebatnya.” Mulut Rizan melopong. Dia pandang ibu seperti tidak percaya.
“Kuasa ni lagi hebat dari semua kuasa yang ada. Bila kita ada kuasa ini, kita akan jadi kuat lebih dari segala-galanya.”
Ibu makin semangat. Malah ibu sudah berdiri tegak di hadapan Rizan.
“Kuasa apa tu ibu!” Rizan terus terlopong dengan cerita ibunya.
“Kuasa yang sangat hebat dan kuat itu, namanya semangat dan keberanian. Semangat untuk melawan semua kuasa jahat. Semangat untuk menolong rakyat jelata. Semangat untuk mempertahankan negara. Keberanian menentang apa saja demi pertahankan tanah air! Itulah kuasa yang paling hebat. Merdeka! Merdeka! Merdeka!”
Ibu mengangkat tangannya melaungkan perkataan merdeka dengan penuh bersemangat.
Mulut Rizan ternganga luas. Matanya tidak berkedip langsung. Ibunya itu kelihatan sangat bersemangat.
 Rizan terdiam lama. Mulanya dia rasa marah pada ibu. Namun dalam hatinya seakan terdetik semangat mereka.
“Rizan betul tak kata ibu, kerana semangat dan keberanianlah negara kita mencapai kemerdekaan. Kerana semangat merekalah kita menjadi bangsa yang bebas dari sebarang penjajahanan. Negara kita aman dan damai. Cuba Rizan tengok negara-negara lain. Mereka makanan pun tidak cukup. Nasib baik kita ada perwira yang punya semangat dah keberaniankan. Hanya berbekalkan semangat dan keberanian mereka telah pertahankan negara kita!”
Terang ibu pada Rizan.
Rizan  mengangguk. Dia paham dengan apa yang cuba ibu sampaikan.
“Jadi Rizan rasa siapa yang lagi hebat. Power Rangers ker Perwira lima bersaudara? Superman ke Perwira lima bersaudara?” Soal ibu bertalu-talu.
Rizan termenung agak lama.
“Tentulah Perwira lima bersaudara! Kisah Hang Tuah dan kawan-kawannya ada dalam buku tak ibu. Bestlah Rizan nak bacalah.” Rizan rasa semakin ingin tahu dan menyelongkar sejarah Hang Tuah dan kawan-kawannya.
“Banyak Rizan, dalam internet pun banyak! Banyak lagi perwira dulu-dulu yang hebat tau. Mereka melawan musuh-musuh yang mengancam negara kita. Mereka sanggup berkorban dan ada yang mati demi mempertahankan negara kita macam Leftenan Adnan.” Ujar ibu lagi.
Rizan renung wajah ibu.
“Patutnya merekalah yang jadi superhero kita kan ibu!”  Rizan mula terfikirkan perkara tersebut.
Ibu tersenyum lebar kepada Rizan.
Rizan tiba-tiba mendapat idea bagaimana untuk membuat pembentangan di hadapan kelas esok. Dia kena berani dan bersemangat barulah boleh menjadi anak cicit kepada Perwira lima bersaudara. Dia merancang untuk mengarang sebuah syair menceritakan tentang keberanian dan semangat Hang Tuah dan kawan-kawan demi mempertahankan negara.
Tentu satu kelas akan terlopong dengan keberaniannya nanti. Sudah tentu cikgu Roziah akan bertepuk tangan bangga dengan Rizan.
Rizan rasa sudah tidak sabar lagi menunggu hari esok.

Bunga Tanda Cinta ...


 BUNGA TANDA CINTA
Fatin cedok air dari dalam bekas tong yang berisi air hujan. Fatin kemudian menjirus air kepada pokok bunga raya yang tumbuh subur di halaman rumah. Pasu-pasu bunga usang yang tersusun kemas itu basah terkena tempias air.
“Fatin jangan membazir air banyak sangat!” Suara ibu lantang menjerit dari dalam rumah.
Fatin cebik bibir, dia rasa bosan dengan leteran ibunya itu. Fatin membaling bekas kosong itu ke dalam tong air.
            Fatin duduk bertinggung hadapan pasu bunga. Dia cabut anak rumput yang mula bercabang halus. Pokok bunga raya milik bapanya itu semakin subur. Malah bunga-bunga raya yang pelbagai warna sudah bercambah. Hati Fatin jadi tenang melihat bunga-bunga raya yang pelbagai warna dan corak itu.
“Fatin buat apa lagi dekat luar tu. Masuk cepat …!” Jeritan ibu bergema lagi.
Fatin bingkas bangun. Dia masuk dalam rumah dengan tergesa-gesa.
            Kelihatan ibu sedang menyusukan Nadia. Nadia yang baru berusia dua bulan itu seakan sudah kenyang. Mata kecilnya tertutup rapat. Bulu matanya sangat halus dan jarang.
Fatin tersenyum sendiri. Nadia agak gelap mungkin dia banyak mewarisi keturunan bapa agaknya.
“Fatin kenapa termenung lagi ni. Tolong ibu pegangkan Nadia.”
Ibu cuba bangun dengan perlahan. Dia kelihatan masih lemah untuk bergerak. Fatin segera mengambil Nadia dari pangkuan ibu.
            Ibu bangun dari tilam sambil bergerak menuju bilik air. Fatin menepuk belakang Nadia perlahan-lahan. Dia tahu selepas menyusu elok bayi di tepuk sebentar.
“Brut!” Nadia tersedu perlahan. Fatin senyum puas. Mata Nadia yang kecil itu seakan terbuka sedikit.
“Nadia … Nadia ….” Fatin memanggil nama adiknya itu dengan perlahan-lahan. Mata Nadia bergerak-gerak tanda dia mendengar suara Fatin.
            Fatin sangat sayangkan Nadia. Selama ini, hanya Fatin seorang anak ibu. Kelahiran Nadia selepas 10 tahun umur Fatin memang membawa kebahagian kepada mereka sekeluarga.
Fatin tahu, kalau mengikut kata doktor, ibu sudah tidak sesuai untuk mengangdung lagi. Ibu sudah  berusia awal 40-an malah dia juga mempunyai penyakit darah tinggi.
Sebab itulah agaknya ibu masih belum sembuh dan kuat.
            Fatin tahu, untuk melahirkan anak, perempuan terpaksa menanggung sakit yang teramat. Sebab itulah ibu selalu marah-marah sekarang. Ibu sudah jarang senyum dan berbual dengannya. Banyak masa ibu habis dengan melayan Nadia atau tidur.
Kepala Nadia terlentok sedikit. Fatin agak terkejut. Dia segera baringkan Nadia atas tilam kecil berhampiran.
            Tilam dan bantal berbunga merah kecil itu direnungnya lama. Mengikut kata bapa, tilam tersebut milik Fatin masa bayi dahulu. Dah bertahun ibu simpan. Ibu memang pandai menguruskan hal-hal rumahtangga. Keluarga mereka bukannya senang. Abah hanya kerani biasa dan ibu pula tidak berkerja. Selama ini mereka hidup dengan bersederhana dalam segala hal.
“Fatin …” Tegur ibu yang berbau wangi bedak. Wajah ibu kelihatan lebih segar dan bermaya.
Fatin hanya membalas dengan senyuman kecil.
“Fatin jangan asyik berangan saja. Pergi mandi dah nak malam ni.” Ujar ibu sambil duduk perlahan atas tilam yang tersedia.
Ibu menyarung stokin dan terus memangku Nadia. Tangan Nadia bergerak perlahan.
“Anak ibu … tidur yer …” Balas ibu sambil menyusik jari-jari Nadia yang masih kecil. Fatin hanya memerhati penuh minat.
“Fatin … cepat mandi!” Ujar ibu sekali lagi.
Fatin tersentak. Dia mencium perlahan dahi kecil Nadia.
“Bau bayi …” Bisik Fatin perlahan dalam hatinya. Bayi mempunyai satu bau yang istimewa bagi Fatin. Mereka berbau bedak yang bercampur dengab bau susu. Entah kenapa Fatin sangat suka akan bau tersebut.
Anak gadis itu bangun perlahan. Faizah mengeleng perlahan melihat gelagat anaknya itu.
                                    *********************************
“Abah, Fatin nak minta duit saku lebih boleh tak?” Fatin bertanya dengan berhati-hati.
Abah yang sedang membaca akhbar mengalih pandangan. Dia renung Fatin agak lama.
“Fatin nak buat apa?” Soal Abah pada anak gadisnya. Dia rasa agak janggal dengan permintaan Fatin. Anaknya itu jarang meminta-minta selalunya.
            Fatin terdiam. Dia tahu ini bukan masa yang sesuai untuk meminta wang saku lebih. Dia tahu sekarang bapa sangat perlukan duit, tambahan pula Nadia baru lahir.
Tapi Fatin sudah berjanji dengan kawan-kawannya. Sudah banyak kali Nadia terpaksa memungkiri janji kepada kawan-kawan hanya kerana masalah kewangan.
“Fatin abah tanya ni. Fatin nak buat apa dengan wang tu?” Ujar abah perlahan. Wajah abah sedikit berkerut. Fatin tahu pertanyaannya itu membuatkan abah jadi susah hati.
“Fatin nak beli hadiah untuk cikgu Latifah. Satu kelas dah berjanji kongsi duit sama-sama.”
Terang Fatin kepada abah.
“Hadiah!” Wajah abag berkerut. Dia seperti agak terkejut.
Dari wajah abah, Fatin tahu abah menjadi resah tiba-tiba.
Mungkin dia tak patut menambah kesusahan abah. Sudahlah abah penat bekerja menambahkan pendapatan, dia pula dengan mudah-mudah nak minta wang lebih.
“Takpelah abah …” Balas Fatin dengan rasa serba salah. Dia melangkah cepat-cepat meninggalkan abah di meja makan itu.
Hadiah! Perkataan itu terus bermain di fikiran abah.
                                    *********************************
“Wah cantiknya bunga raya putih ini!”
Kencana membelek beberapa kuntum bunga raya yang sedang kembang mekar.
“Rajin ibu kamu tanam semua pokok-pokok bunga ini.” Ujar Kencana lagi. Dia pandang Fatin yang seperti termenung jauh.
“Hei kawan kamu fikirkan siapa ni!” Kencana mengusik Fatin sambil mencuit pinggangnya.
“Hish Kencana mana ada, saya susah hatilah.” Balas fatin sambil menepis usikan Kencana itu.
Susah hati kenapa pula!” Kencana duduk di tepi Fatin.
“Hmm saya ingat saya tak boleh sertai kamu semualah. Saya tak cukup duit nak kongsi untuk beli hadiah cikgu Latifah.” Fatin bersuara perlahan.
Kencana mengangguk, dia paham dengan keadaan keluarga Fatin. Mereka bukan orang berada.
“Kalau saya ada duit lebih … saya boleh bantu kamu.” Kencana mula terbayangkan tabung ayam dalam bilik. Tabung ayam itu sudah makin gemuk.
“Tak payahlah Kencana, saya tak mahu macam tu.” Fatin bangun.
Dia memang tak suka menerima simpati sesiapa. Ibu dan bapa selalu mengajarnya untuk hidup bersederhana dan jangan meminta simpati orang.
Kencana jeling Fatin. Dia tahu kawannya itu sedang susah hati.
“Fatin bunga-bunga raya kamu kembang dan cantiklah!” Ujar Kencana dengan riang. Dia mahu menukar topik.
“Tentu ada anak dara cantik yang sangat rajin ni!” Tambah Kencana mengusik Fatin.
Fatin tersenyum.
“Pokok-pokok raya semua ini abah saya yang tanam. Abah saya suka sangat dengan pokok bunga raya. Fanatik!” Balas Fatin dengan nada bergurau.
Kedua anak gadis itu tertawa kecil.
            Dari dalam rumah kedengaran bunyi tangisan kecil. Fatin bingkas meluru masuk kedalam rumah. Kencana pula mengekori langkah Fatin dari belakang.
Fatin nampak ibu yang sedang menyusukan Nadia. Dia menarik nafas lega. Fatin mengajak Kencana menghampiri ibunya.
“Adik kamu laparlah …” Usik Kencana bila melihat Nadia yang terus diam bila dapat menyusu.
Faizah senyum pada Kencana. Fatin dan Kencana merupakan kawan baik di sekolah. Tambahan pula kedudukan rumah mereka yang berdekatan membuatkan dua anak gadis itu menjadi rapat.
“Fatin buatkan teh nanti boleh ajak Kencana minum sekali.” Ujar ibu kepada Fatin. Fatin angguk dia bingkas bangun ke dapur.
“Comelkan Nadia ni makcik, gebu pulak tu!” Ujar Kencana sambil menyentuh lembut pipi gebu Nadia. Mata Nadia bergerak-gerak.
“Mana tak gebu asyik nak susu saja.” Balas Faizah kepada Kencana.
“Macam kakak dia juga gebunya.” Usik Kencana yang membuatkan Faizah juga tersenyum. Memang Nadia mirip sekali dengan wajah Fatin cuma kulit Nadia agak gelap.
“Hai mengumpat saya ker?” Fatin menegur Kencana yang seakan berbisik dengan ibunya.
Fatin letakkan dulang yang berisi air teh dan biskut kering. Dia mempelawa Kencana minum petang bersama. Faizah renung kedua anak gadis itu.
“Makcik tak mahu minun sekali?” Soal Kencana sambil menghulurkan cawan kepada Faizah.
Faizah angguk.
            Keduanya keluar dari rumah dengan senyuman. Mereka menghampiri deretan pokok bunga raya.Keadaan sudah makin petang dan hampir gelap.
“Fatin saya kena balik dululah. Dah nak gelap ni!”
Kencana berjalan menghampiri basikal merahnya yang diletakkan bawah pokok jambu.
Fatin mengiringi Kencana dengan muka gelisah.
“Kencana mereka cadang belikan hadiah apa untuk cikgu Latifah esok?” Soal Fatin ingin tahu.
“Mereka bercadang nak hadiahkan cikgu Latifah sejambak bunga ros dengan kek besar.” Jawab Kencana yang cuba mengingati perbincangan dengan ketua kelas kelmarin.
Fatin tarik nafas panjang. Wajahnya berkerut.
Kencana dapat melihat wajah Fatin yang bermasalah itu. Dia tahu Fatin sedang fikirkan tentang hari esok.
“Kencana saya rasa esok saya nak pontenglah!” Fatin membisikkan kata itu perlahan. Wajah Kencana berkerut.
“Alah kenapa pulak … janganlah sebab hadiah cikgu Latifah tu kamu nak ponteng pulak!” Kencana rasa kesal.
“Kencana kamu tak paham. Saya malulah! saya tak keluarkan duit langsung. Saya tak patut sertai kamu semua nanti. Baik saya ponteng saja.”
Fatin mula melahirkan rasa hatinya.
Kencana renung wajah Fatin yang redup itu. Kencana paham perasaan Fatin.
“Hmm … saya pahamlah Fatin. Saya kan kawan baik kamu, mestilah saya paham. Kamu jangan risau petang esok saya datang ulangkaji dengan kamu yer.”
Kencana senyum pada Fatin.
“Inilah kawan baik saya.” Balas Fatin sambil mengangkat tangan. Keduanya bertepuk tangan dengan senyuman lebar.
                        Fatin asyik pandang jam yang berdetik di dinding. Dia tahu sekarang sudah waktu kelas cikgu Latifah. Tentu kawan-kawannya sedang meraikan cikgu pelatih itu dengan gembira. Semua pelajar sayangkan cikgu Latifah sebab dia pandai mengajar dan sangat rapat dengan pelajar.
Hari ini merupakan kelas terakhir dengan cikgu Latifah sebelum dia kembali ke maktab perguruan. Fatin rasa sedih kerana tidak dapat bertemu dengan guru itu untuk kali terakhir.
“Fatin termenung lagi yer!” Sergah ibu dari belakang. Fatin agak terkejut dia kemudian melangkah perlahan ke dapur.
Faizah tahu kenapa anaknya itu tiba-tiba mengadu sakit perut. Itu cuma alasan untuk ponteng sekolah. Dia terdengar perbualan Fatin dan Kencana semalam.
“Ibu rehat biar Fatin masak yer hari ini.” Ujar Fatin kepada Faizah sambil tangannya membasuh beras dalam periuk.
Faizah duduk perlahan atas kerusi. Dia kena berhati-hati kerana luka bersalinnya masih belum sembuh.
“Ibu nak makan apa, biar Fatin masakkan!” Fatin buka api gas. Dia letakkan periuk atas dapur untuk menanak nasi.
“Apa pun Fatin masak ibu makan saja. Ibu penatlah Fatin, ibu pergi rehat sekejab yer.”
Fatin mengangguk. Ibu melangkah perlahan menuju biliknya.
            Di ruangan dapur itu kelihatan Fatin sedang sibuk memasak. Dia mengoreng ikan dan sayur. Fatin juga masakkan sup kepada ibu.
Sudahnya dia terduduk penat atas kerusi di meja makan.
Fatin renung lagi jam di dinding. Sekarang sudah hampir 2 petang. Tentu Kencana pun sudah pulang dari sekolah.
                                                            ****************************
            Fatin renung deretan pokok bunga raya yang agak layu terkena panas matahari. Hari ini panas sedikit membahang. Kipas angin dalam rumah langsung tidak dapat menyejukkan.
Fatin sengaja duduk luar rumah untuk mengambil angin luar.
Dia duduk atas kerusi rotan yang sudah buruk berhampiran pokok bunga raya. Betul kata  Kencana, bunga raya yang pelbagai bentuk dan warna itu begitu cantik dan menarik.
“Fatin!” Satu suara menegurnya dari belakang. Fatin kenal benar suara itu tapi mustahil.
Fatin menoleh segera.
“Cikgu Latifah!” Mata Fatin membutang. Dia sangat terkejut melihat cikgu Latifah di depan matanya.
Cikgu Latifah hanya tersenyum lebar.
“Cikgu masuklah dulu!” Pelawa Fatin dengan sopan.
Cikgu Latifah mengeleng.
“Nanti dululah … lagipun saya nak bersembang dengan kamu.” Ujar cikgu Latifah yang turut duduk di tepi Fatin.
“Kreeokk!” Kerusi rotan itu berbunyi saat punggung cikgu melekap atasnya.
“Maaf  cikgu …” Fatin rasa segan dengan keadaan itu. Cikgu Latifah sebaliknya berlagak biasa saja.
“Cantiknya pokok-pokok bunga kamu!” Ujar cikgu Latifah sambil tangannya menyentuh kelopak bunga raya berwarna merah terang.
Dia mencium kelopak bunga tersenyum dengan senyuman manis.
“Kenapa ponteng hari ini?” Soal cikgu Latifah yang mula agak serius. Fatin hanya menariknafas panjang.
“Kamu pelajar yang pandai. Kamu ada potensi untuk jadi pelajar cemerlang Fatin. Jangan sebab benda-benda kecik kamu patah semangat.” Cikgu Latifah mula berbicara dengan Fatin.
Fatin di sebelahnya hanya tertunduk memandang lantai.
“Cikgu tak paham …!” Balas Fatin sayu.
Cikgu Latifah merenungnya lama.
“Fatin cikgu paham. Cikgu pun orang susah juga. Malah lagi susah dari kamu. Semangat dan usaha saja yang buat cikgu berada di sini, hari ini.” Cikgu Latifah juga kelihatan menjadi sayu bila menyebut tentang dirinya.
Fatin renung wajah cikgu Latifah lama. Wajah itu sangat mulus dan tenang.
“Fatin, cikgu paling sayangkan kamu sebab kamu mengingatkan cikgu pada diri sendiri. Ingat tau, semangat dan usaha saja yang boleh ubah nasib kita.” Ujar cikgu Latifah lagi.
Fatin mengangguk. Dia terus memeluk erat cikgu muda itu.
“Cikgu …” Kedengaran suara abah dari belakang. Fatin dan cikgu Latifah menoleh agak terkejut.
“Hadiah untuk cikgu!” Abah hulurkan sesuatu yang berbungkus plastik merah kepada cikgu Latifah. Didalamnya terdapat anak pokok bunga raya yang masih kecil.
“Abah …” Fatin menjeling abahnya. Dia rasa malu bila abah menghadiahkan benda itu kepada guru kesayangannya.
Abah jadi serba-salah. Mukanya merah menahan malu.
Cikgu Latifah menyambut dengan senyuman manis.
“Bunga raya?” Soal cikgu Latifah mesra kepada abah.
“Hmm … maaflah cikgu …” Suara abah perlahan. Dia rasa amat serba salah.
“Saya memang suka sangat bunga raya. Dekat rumah saya penuh dengan koleksi bunga raya tau.” Balas cikgu Latifah dengan muka yang begitu teruja.
“Ini pakcik dah cantumkan bakanya yer!” Ujar cikgu Latifah lagi sambil membelek anak pokok bunga raya tersebut.
Abah mengangguk.
“Ha ah, saya cantumkan benih bunga warna merah, putih dan kuning.” Balas abah sambil membuka plastik tersebut.
Mereka kelihatan membelek-belek anak pokok tersebut.
“Bagusnya pakcik, dah lama sangat saya cari baka begini. Susah sangat nak dapat.” Wajah cikgu Latifah bersinar. Dia kelihatan begitu teruja dan seronok.
            Fatin pandang dengan rasa keliru. Dia seperti tidak percaya. Cikgu Latifah dapat sejambak bunga ros. Tu ha dalam kereta dia. Dari luar ini pun nampak. Mustahil dia sukakan bunga raya yang biasa ni.
“Fatin!” Cikgu Latifah menghampiri Fatin dengan senyuman.
“Terima kasih pada ayah awak yer. Anak pokok bunga raya ni dah lama cikgu cari tau. Rupanya ayah kamu pandai buat teknik cantuman.” Cikgu Latifah membelek-belek anak pokok bunga raya dengan wajah teruja.
“Peliklah!” Ujar Fatin perlahan.
Cikgu Latifah merenung Fatin.
“Apa yang peliknya?” Soal Cikgu Latifah kepada Fatin kembali.
Fatin senyum dia mengelengkan kepala.
“Jarang ada orang muda yang sukakan bunga raya!” Fatin melahirkan rasa kelirunya.
Cikgu Latifah tersenyum.
“Itu mungkin orang lain, bukan cikgu. Cikgu  sukakan bunga raya sebab ia melambangkan kita. Bunga raya bunga kebangsaan kitakan.” Cikgu Latifah ingin terangkan sesuatu kepada Fatin namun muridnya itu cepat saja memintas katanya.
“Memanglah tapi …” Fatin masih tidak puas hati dengan penerangan cikgunya itu.
“Fatin bunga raya sinonim dengan warna merah. Merah itu melambangkan semangat dan keberanian kita. Bunga raya ada lima kelopak yang menandakan lima prinsip rukun negara yang kita pegang. Kepelbagaian warna dan bentuk bunga raya mewakili kita di Malaysia. Kita yang hidup berbilang kaum dengan aman dan makmur. Kalau bukan kita yang menyanjung bunga raya yakni bunga kebangsaan kita sendiri, siapa lagi Fatin!”
Terang cikgu Latifah panjang lebar dengan penuh bersemangat. Fatin mula memikirkan kebenaran kata-kata gurunya itu.
Fatin angguk.
“Fatin kena belajar jadi warganegara yang baik. Warganegara yang berbakti dan berguna untuk keluarga, bangsa dan tanahair. Fatinlah generasi yang akan memimpin pada masa hadapan. Jadilah pemimpin yang menghargai dan mencintai budayanya sendiri. Apa kata kita mulakan semangat itu dengan belajar mencintai bunga raya, bunga kebangsaan kita sendiri!”
Nasihat cikgu Latifah lagi. Dia pegang tangan Fatin dengan erat.
“Fatin paham cikgu. Fatin dah faham!” Ujar Fatin lembut sambil mengucup mesra tangan gurunya.
Abah yang masih memerhati dari jauh tersenyum puas. Atas sebab itu jugalah dia amat fanatik kepada bunga raya bak kata anaknya itu.
                                                ********************************
                                                                        TAMAT





Wednesday, November 2, 2011

CERPEN KLASIK : PUTERI JELITA DAN DAYANG HODOH

TAJUK 1 : PUTERI JELITA DAN DAYANG HODOH

Jauh di puncak Gunung Permata tersergam indah sebuah istana yang sangat cantik dan besar. Istana Salju Biru kelihatan sangat indah biarpun masih diselubungi kabus tebal. Beberapa pengawal istana sedang berbual sesama sendiri sambil memeluk tubuh menahan kesejukkan pagi. Dayang istana pula sudah mula bersiap untuk memulakan tugasan masing-masing.
Puteri Sukma menyelak jendela yang melindungi pemandangannya. Sudah menjadi rutin paginya untuk melihat keindahan tasik Hijau setiap pagi. Fikirannya akan menjadi lebih tenang bila menghayati keindahan panorama tasik Hijau.
Puteri Sukma tersenyum bila terlihat, angsa-angsa putih miliknya yang sedang memenuhi seluruh permukaan tasik. Beberapa ekor burung bangau juga kelihatan bermain di gigi air. Dari jauh angsa dan bangau berkilauan disimbah sinar mentari. Bulu putih mereka memancarkan cahaya seperti permata di tengah tasik Hijau.
“Puteri ...” Seperti biasa juga suara yang lembut itu akan menyapanya.
Setiap pagi pada detik yang sama, dayangnya Si Hitam akan menjenguknya dengan sepasang persalinan buat Puteri Sukma.
“Dayang, beta tak sukalah dengan persalinan ini. Rimas beta dengan labuci dan permata yang bertaburan pada cindai ini.” Puteri Sukma mencebik bibir setelah melihat persalinannya untuk hari ini.
“Tapi tuan Puteri, persalinan ini bonda Permaisuri yang pilihkan tadi.” Suara dayang Hitam perlahan. Dia takut tuan Puteri Sukma menolak untuk memakai persalinan yang telah di pilih oleh Permaisuri.
Siapa tidak kenal dengan ketegasan Bonda Permaisuri. Baginda sangat garang dan tegas. Malah dengan puteri Sukma yang merupakan puteri tunggalnya itu baginda juga masih bertegas. Semuanya harus mengikut perintah Bonda Permaisuri. Jangan sampai baginda merasa murka, maka buruklah padahnya.
“Dayang kenapalah hidup beta terkurung begini. Kenapa bonda selalu memarahi beta. Bonda melayan beta seperti anak tirinya saja.” Puteri Sukma mengeluh sendiri.
Dayang Hitam hanya mendiamkan diri, dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan dengan memberi pendapat yang bukan-bukan nanti.
Sebagai anak tunggal, puteri Sukma tidak pernah dimanjai oleh bondanya. Mungkin juga sebagai pemerintah negara Bonda Permaisuri harus bertegas. Bonda terpaksa menjadi ketua pemerintah Negeripura sejak Ayahanda terbunuh dalam persengketaan dengan negeri jajahan Negeripura. Tugas dan tangjungjawab yang berat membuatkan Bonda amat sibuk dan jarang bersama dengan puteri Sukma lagi.
“Tuan Puteri sudah sampai masanya untuk turun mengadap bonda Permaisuri. Waktu sarapan pagi akan bermula tidak lama lagi.” Dayang Hitam cuba mengingatkan Puteri Sukma. Dia tidak mahu bonda permaisuri rasa murka lagi dengan puterinya itu.
“Tapi beta tak suka persalinan ini. Kalaulah beta boleh hidup bebas seperti kamu dan yang lain-lain, tentu bahagia.” Puteri Sukma merungut lagi sambil, mencampakkan persalinan tersebut atas katilnya.
Dayang Hitam segera mencapai semula persalinan. Dia perlu memastikan yang Puteri Sukma memakai juga persalinan tersebut, kalau tidak mesti dia yang akan menerima hukuman dari ketua dayang istana.
“Tuan Puteri, kita kena cepat kalau tidak nanti semua angsa dan bangau di tasik Hijau akan terbang jika mentari makin meninggi.” Pujuk dayang Hitam yang tahu kelemahan puteri Sukma.
Dayang Hitam menghampiri jendela yang terbuka luas. Dia nampak sekumpulan angsa putih dan bangau yang masih bermain di permukaan air.
“Cepatlah tuan Puteri, nanti si Cendana terbang lagi seperti semalam.” Tambah dayang Hitam. Si Cendana ialah angsa putih kesayangan puteri Sukma. Cendana antara angsa putih yang besar malah ia mempunyai sayap dan bulu yang paling cantik. Bulunya akan bersinar-sinar seperti mutiara bila terkena cahaya matahari.
Tuan Puteri masih tidak bergerak. Dia tahu yang dayang sedang memujuknya seperti selalu. Puteri Sukma duduk atas katil sambil memeluk tubuh erat.
“Aduh Cendana cantiknya kamu. Tuan Puteri tengoklah Cendana sedang menari-nari. Bulunya dikembangkan dengan besar sekali.” Dayang Hitam teruja melihat perlakuan angsa putih yang sedang menunjukkan lagaknya.
Puteri Sukma terus saja berlari kejendela. Dia tersenyum lebar dan rasa amat gembira melihat Cendana yang sedang beraksi.
“Cantik betul Cendana. Cepatlah dayang, siapkan beta. Selepas sarapan kita boleh ketaman dan bermain dengan Cendana.” Puteri Sukma menjadi teruja dan terus terlupa tentang perkara tadi.
“Mari hamba siapkan tuan Puteri menjadi lebih cantik dari Cendana. Biar ia cemburu dengan tuan Puteri nanti.” Dayang Hitam mengusik puteri Sukma untuk mengembirakan hatinya.
Dayang Hitam tersenyum lega, dia dengan segera terus menyiapkan Puteri Sukma untuk acara sarapan mereka.
*******************************
Puteri Sukma menghayun buaiannya dengan kuat. Bayu yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menyamankan mereka. Buaian yang tergantung pada sebatang pokok Merbau besar terletak di tepi tasik Hijau.
Dayang yang sedia menghayun dari belakang rasa tenang melihat panorama tasik Hijau. Namun perkara yang berlaku di meja santapan tadi masih tergambar di ingatannya. Dia tahu puteri Sukma juga terdiam sejak tadi kerana perkara tersebut.
“Dayang, kenapalah ini nasib beta. Kenapa bonda tergamak mengambil keputusan tanpa meminta pendapat beta langsung.” Buaian puteri Sukma makin perlahan. Kakinya menguis rumput di tanah dengan wajah yang berkerut.
“Dayang, beta teringin sangat menjadi seperti kamu dan Kencana. Mesti hidup kamu berdua sangat bebas dan gembira.” Puteri Sukma merenung pada angsa putih yang masih berenang pada permukaan air.
Dayang Hitam terdiam, puteri Sukma memang suka mengeluh dengan nasibnya itu. Dia selalu membandingkan dirinya dengan yang lain.
“Dayang kalaulah beta ada kuasa, beta mahu bertukar menjadi kamu atau Kencana.” Tambah puteri Sukma lagi. Kali ini puteri Sukma melangkah bangun dari buaian dan mendekati tepi tasik Hijau.
“Tuan Puteri hanya melihat luarannya sahaja, permukaannya tidak selalu tidak sama dengan kebenaran.” Dayang Hitam menjawab setelah lama mendiamkan diri.
Puteri Sukma kebingungan, dia kurang paham dengan kata-kata dayang Hitam.
“Maksud kamu wahai dayang!” Ujar puteri Sukma yang ingin tahu lebih lanjut.
“Hidup hamba tidaklah seindah mana tuan Puteri. Hamba selalu berharap dapat berada di tempat tuan Puteri. Hamba selalu berangan menjadi tuan Puteri.” Dayang Hitam senyum sinis sambil menyuarakan isi hatinya.
“Hmm kalaulah kita boleh bertukar tempat ...” Puteri Sukma dan dayang Hitam mula mengeluh dan menyesali takdir masing-masing.
“Hai tuan Puteri Sukma dan dayang Hitam yang malang .. jauh benar kamu berdua termenung!” Ada satu suara nipis tiba-tiba menyapa mereka.
Puteri Sukma dan dayang Hitam saling berpadangan. Mereka kemudian mula mencari arah datangnya suara itu.
“Akulah yang bercakap ... aku Kencana!” Angsa putih ditengah tasik menghampiri keduanya.
Puteri Sukma dan Kencana seperti tidak percaya melihat keajaiban itu.
“Kencana kamu boleh bersuara, kamu boleh bercakap dengan kami?” Puteri Sukma begitu teruja. Dia mendekati pinggir tasik Hijau untuk lebih dekat dengan Kencana.
Dari jauh, angsa putih tersebut menganggukkan kepalanya. Kali ini, dayang Hitam dan Puteri Sukma terus tergamam.
“Aku boleh penuhi impian kamu berdua. Aku ada kuasa untuk menukarkan kamu tapi dengan syarat!” Kencana tiba-tiba bersuara perlahan.
“Kamu ada kuasa! Baguslah begitu ... cepatlah tukar kami segera.” Puteri Sukma melonjak gembira. Dayang Hitam tersenyum lebar. Impiannya untuk menjadi puteri raja akan terlaksana tidak lama lagi.
“Kamu tidak mahu mendengar syaratnya dulu.” Soal Kencana lagi.
“Apa saja syaratnya kami pasti akan bersetuju. Beta sudah tidak sabar untuk melihat dunia luar sebagai rakyat biasa. Beta ingin bebas.” Puteri Sukma mula membayangkan kehidupan yang lebih bebas di luar nanti.
“Betul tu Kencana, hamba juga tidak sabar untuk menjadi puteri raja. Hamba sudah tidak sabar untuk hidup dalam istana. Cepatlah Kencana jangan buang masa lagi. Kami mahu bertukar sekarang, kami sudah bosan denga diri sendiri.” Dayang Hitam pula mula berangan-angan.
Angsa putih tersenyum melihat keduanya yang sudah tidak bersabar lagi. Kencana tersenyum sinis, jeratnya hampir mengena. Memang inilah masa yang amat ditunggu-tunggu olehnya.
“Kencana cepatlah ... kamu tukarkan kami dulu dan barulah kau beritahu syaratnya.” Puteri Sukma semakin tidak keruan. Dia sudah bosan terkurung dalam istana berbelas tahun lamanya.
Kencana mengangguk dan ia kemudian mula berlegar-legar di tengah tasik dan mula membaca mentera tertentu. Tidak lama kemudian, Kencana menghampiri puteri Sukma dan dayang Hitam.
“Pejamkan mata kamu berdua. Angguklah tanda kamu setuju dengan semua syarat yang akan aku nyatakan nanti.” Angsa putih mula memberi arahan.
Dayang Hitam dan Puteri Sukma terus pejamkan mata sambil berpegangan tangan. Keduanya kemudian mengangguk dengan pantas.
“Berjanjilah yang kamu berdua tidak akan menyesal!” Ulang Kencana sekali lagi.
“Kami tak akan menyesal, cepatlah Kencana jangan asyik melengahkan masa lagi.” Puteri Sukma mengesa angsa putih supaya segera menukarkan mereka berdua.
“Bersedialah dan jangan menyesal!” Kencana mengepakkan sayapnya mengenai wajah keduanya. Dia kemudian menghembuskan mentera sihirnya kepada mereka. Secara tiba-tiba cuaca sekitar menjadi gelap gelita. Guruh berdentum dilangit. Angin bertiup kencang hingga membuatkan puteri Sukma dan dayang Hitam berpusing ditiup angin tersebut.
Tidak berapa lama kemudian, keadaan sekitar kembali seperti biasa. Puteri Sukma dan dayang Hitam mula melihat diri sendiri. Keduanya tergamam tidak percaya.
“Ahhhh apa yang dah terjadi!!!” Dayang Hitam menjerit kuat namun suaranya hanya tersangkut di keronkong. Suaranya juga sudah bertukar.
“Hahahaha ... kenapa kamu bertukar menjadi Kencana pula wahai dayang!” Puteri Sukma tertawa geli hati melihat dayang Hitam yang telah menjelma menjadi angsa putih mengantikan Kencana.
“Kenapa begini Kencana, kenapa kamu pula yang bertukar menjadi puteri raja!” Bentak dayang Hitam rasa amat marah.
Kencana yang sudah bertukar menjadi puteri Sukma tersenyum lebar. Dia melangkah dengan penuh bergaya. Dia rasa amat puas melihat mentera sihirnya yang sudah menjadi itu.
“Selagi tiada bantahan dari tuan Puteri maka aku boleh terus bertukar menjadi dirinya.” Kencana merapati tuan Puteri dengan renungan mata yang amat sayu. Dengan kuasa sihir dan menteranya, Kencana berjaya membuatkan tuan Puteri bersetuju.
“Beta tak kisah sebab beta sudah berjaya menjadi dayang Hitam. Sekarang beta mahu keluar dan hidup bebas diluar sana.” Puteri Sukma yang telah bertukar menjadi dayang Hitam segera berlari menuju pagar Istana Biru.
“Tuan Puteri janganlah pentingkan diri, tolonglah hamba.” Dayang Hitam merayu-rayu. Namun Puteri Sukma langsung tidak mempedulikannya.
Kencana yang sudah bertukar menjadi Puteri Sukma tersenyum lebar. Dia seperti sedang mengejek kebodohan dayang Hitam.
“Kamu dah berjaya memperbodohkan kami wahai angsa putih yang tidak sedarkan diri.” Dayang Hitam rasa tertipu dengan perbuatan Kencana itu.
“Bukan salah aku, kamu berdua yang terlalu taksub untuk hidup di dunia orang lain. Kamu berdua tidak bersyukur dengan apa yang ada maka inilah balasannya.” Ujar Kencana lagi yang membuatkan dayang Hitam semakin menyesal.
“Aku dah menyesal, tukarkan aku kembali. Aku mahu menjadi dayang Hitam semula. Tolonglah tukarkan aku kepada rupa asal.” Dayang Hitam merayu-rayu kepada Kencana.
“Maaf sudah terlambat.” Kencana mengelengkan kepalanya.
“Kenapa?” Soal dayang Hitam yang tidak puas hati dengan jawapan Kencana. Sayapnya mula terasa gatal dan perih. Ia cuba mengarunya dengan paruh namun gagal. Dayang Hitam dalam rupa angsa putih rasa begitu tersiksa.
“Itulah syaratnya tadi. Syarat yang telah kamu berdua terima tanpa mahu mendengar isinya. Yang bila kamu bertukar, maka kamu akan kekal dalam rupa itu selamanya. Bukankah kamu berdua telah bersetuju dengan syarat itu.” Kencana tersenyum sinis.
Dayang Hitam terpana dengan jawapan Kencana. Dia sangat menyesal sekarang, kenapalah dia bertindak terburu-buru tanpa tahu hujung pangkal. Dia sudah berjaya diperdayakan oleh angsa putih jahat itu. Air matanya mengalir laju.
Kencana yang kini telah menjadi Puteri Sukma melangkah dengan tenang memasuki perkarangan Istana Biru. Dia puas akhirnya dia berjaya juga tinggal dalam istana besar itu. Mulai hari ini, dia boleh menjadi seperti puteri raja yang tidak perlu bersusah payah mencari makanan sendiri.
“Kenapalah manusia tidak mahu bersyukur!” Bisik hati Kencana dalam rupa puteri Sukma setelah kakinya memijak lantai Istana Biru.
******************************
Puteri Sukma sudah puas merayau seluruh kawasan Negeripura hinggakan tekaknya terasa amat haus. Puteri Sukma yang sudah menjadi dayang Hitam segera menghampiri sebuah gerai berdekatan.
“Berikan beta minuman, beta haus!” Puteri Sukma memberikan arahannya seperti selalu. Peniaga tersebut tidak menghiraukan langsung dirinya.
“Hei kamu tidak dengar titah beta!” Suara puteri Sukma makin meninggi.
Peniaga tadi mula menoleh, dia merenung dayang istana yang hodoh tersebut.
“Cepatlah berikan beta minuman, beta haus. Kamu tak dengar titah beta!” Puteri Sukma menjadi geram dan hampir naik angin.
“Hei dayang hitam yang hodoh, tidak tahukah kamu berbahasa dengan orang tua. Sungguh kurang ajar.” Peniaga itu kemudian menjirus air kepada puteri Sukma.
Puteri Sukma mula tersedar, dia lihat dirinya dari atas hingga bawah. Dia terlupa yang kini dia sudah bertukar menjadi dayang Hitam. Puteri Sukma rasa malu bila orang ramai mula mengejeknya.
“Aduh dayang Hitam, kamu berangan mahu menjadi puteri raja yer. Hahahaha ... beranganlah kamu sampai bila-bila.” Ujar satu suara dari belakang dan disambut dengan ketawa besar dari semua orang.
“Aku memang puteri rajalah, akulah Puteri Sukma!” Angkuh sekali puteri Sukma mempertahankan dirinya namun kata-katanya di sambut dengan ketawa besar oleh semua orang.
“Hahahaha ... janganlah kita melayan dayang Hitam yang suka berangan ini. Hahaha ...” Semua orang mengelengkan kepala sambil mengejek puteri Sukma.
Puteri Sukma menundukkan wajahnya. Dia melangkah laju meninggalkan kawasan tersebut. Hari pula semakin gelap menandakan yang malam akan menjelma, perutnya pula semakin lapar dan dahaga.
Puteri Sukma cuba meminta simpati beberapa orang yang dijumpainya namun tidak ada sesiapa pun yang mahu menolongnya. Kakinya sudah sakit akibat berjalan tanpa berkasut. Puteri Sukma tahu yang dia mesti kembali ke istana.
Baru sehari dia hidup sebagai dayang Hitam bermacam masalah yang dia tempuhi. Sungguh susah rupanya hidup sebagai dayang Hitam. Rupanya yang hodoh dan kulitnya yang hitam pekat membuatkan orang asyik mengejeknya. Beberapa orang kanak-kanak yang dia jumpai pula, begitu seronok membaling batu kepadanya.
Puteri Sukma rasa amat menyesal. Dia sepatutnya bersyukur dilahirkan sebagai puteri raja. Dia sepatutnya bersyukur dengan semua yang sudah tersedia dalam istana.
“Pengawal tolong buka pintu ... Cepat beta sudah tidak tahan lagi.” Puteri Sukma mengoyangkan pagar istana berkali-kali. Seorang pengawal istana keluar dengan muka yang bengis.
“Hei dayang Hitam, kamu tidak dibenarkan masuk kedalam istana pada waktu malam begini!” Tegas pengawal itu menghalau puteri Sukma dengan kasar.
“Beta bukan dayang Hitam, beta Puteri Sukma. Kamu harus dengar titah beta!” Puteri Sukma menjadi marah.
“Hahahaha ... dayang Hitam kamu memang suka berangan. Dengan muka hitam dan hodoh begini, kamu fikir ada orang yang akan percaya dengan kata-kata kamu. Hahahaha ...” Pengawal itu mengejek dengan ketawa besar.
“Hei beta puteri Sukmalah, betalah tuan Puteri kamu, cepat bukakan pagar ini untuk beta. Cepatttt!!!” Puteri Sukma menjerit kuat. Dia mengoncangkan pagar tersebut dengan kuat.
“Dah pergi balik tiada sesiapa pun yang akan percayakan kamu. Pergi balik aku cakap.” Pengawal istana makin bertindak kasar. Dia cuba memukul puteri Sukma dengan sebatang kayu.
Puteri Sukma terpaksa juga beralah. Dari pagar istana dia dapat melihat biliknya yang terang benderang. Air matanya mengalir laju. Puteri Sukma rasa amat menyesal sekarang. Dia tahu yang Kencana telah berjaya mempermainkan mereka. Angsa putih telah berjaya memperbodohkan mereka.
“Kenapalah aku tidak mahu bersyukur selama ni.” Puteri Sukma menyapu airmata yang mengalir laju. Dia terduduk bawah sebatang pokok di tepi pagar istana.
Jendela dari bilik puteri Sukma terkuak perlahan. Kencana dapat melihat puteri Sukma yang telah bertukar menjadi dayang Hitam yang sedang menangis teresak. Kencana tersenyum puas. Lagipun dia sudah bosan mendengar keduanya asyik mengeluh setiap hari.
***************************

Tuesday, November 1, 2011

TRAGEDI RACHEL CORRIE

TAJUK 4 : TRAGEDI RACHEL CORRIE

Salsabila pejamkan mata yang terasa amat berat untuk dilelapkan. Di mata kecilnya itu masih tergambar kisah seorang kanak-kanak kecil yang cedera parah dengan darah yang membasahi seluruh tubuh.

“Kenapa tu mama?” Itulah persoalan yang terkeluar pada bibirnya pada puan Salmah yang asyik mengadap laptop di hadapannya.

Salsabila nampak runtuhan bangunan dengan tangisan anak-anak kecil menahan kesakitan. Apa yang dah jadi dengan mereka, kenapa dunia mereka terlalu hura-hara. Salsabila tidak sanggup untuk terus melihat apa yang terlayar di televisyen.

“Mama!” Soal Salsabila yang mahukan penerangan ibunya namun puan Salmah sedang leka melayan rakan-rakan mayanya di internet. Ibu kanak-kanak tersenyum malah ada kalanya dia mengilai sendirian.

Salsabila kembali merenung televisyen yang masih menayangkan dokumentari tentang kisah Luka Palestin.

Palestin itu apa, di mana dan kenapa. Pelbagai persoalan terus bermain di fikiran anak kecil yang baru berusia 10 tahun itu. Salsabila mendekati televisyen agar dia boleh lebih memahami apa yang sedang terjadi.

“Mama Palestin dekat mana?” Mulut kecil Salsabila terus menyoal ibunya yang masih leka mengadap laptop.

“Hish Salsabila janganlah kacau mama nak ‘chatting’ nie.” Puan Salmah rasa terganggu dengan persoalan demi persoalan yang datang dari anaknya.

Hujung minggu beginilah dia menghabiskan masa mengadap ruang FB untuk bermesra dengan semua rakan-rakan mayanya. Selalunya dia terlalu sibuk berkerja sampai tidak ada masa untuk diri sendiri pun.

“Berita muktamad yang kami terima MV Rachel Corrie yang membawa bantuan kemanusian ke kawasan Gaza telah ditawan oleh tentera Israel.” Siaran berita terkini yang muncul tiba-tiba membuatkan Salsabila makin keliru.

Gaza? Israel?” Seribu pertanyaan mula menyerbu kotak fikirannya.

Anak kecil itu bangun perlahan. Dia menghampiri ibunya yang sedang tersenyum sendiri.

“Mama Palestin tu di mana?” Salsabila menarik lengan puan Salmah untuk mendapatkan perhatian. Otak terasa makin berat dengan persoalan yang satu pun belum diterangkan oleh ibunya itu.

“Salsabila ada internet dalam computer, cuba Sal cari semua info tersebut dalam internet. Mesti lagi banyak dan terperinci sekali.” Mama masih tidak mengendahkan Salsabila.

Salsabila baru teringat tentang internet. Sebulan lepas dia dan kawan-kawan di perkenalkan dengan internet oleh cikgu Kamsiah. Kata cikgu Kamsiah dengan menekan perkataan tertentu semua maklumat lengkap boleh didapati dalam internet.

Salsabila mencebik bibir dan dengan pantas dia berlari laju menaiki tangga. Mungkin dengan internet dia boleh mendapat semua informasi yang ingin diketahui.

**********************************

Salsabila buka langsir yang menutupi tingkap. Ruangan bilik menjadi lebih cerah dan segar. Salsabila hidupkan computer yang dihadiahkan oleh abahnya. Dia kemudian mula mengingati langkah untuk melayari internet seperti yang di ajar oleh cikgu Kamsiah.

Salsabila kemudian menaip perkataan Palestin. Pelbagai informasi yang terus menjelma. Salsabila cuba membacanya dengan perlahan-lahan.

Kepala Salsabila menjadi pening dengan tiba-tiba, semua perkataan yang dibaca mula muncul dalam fikirannya.

“Ahhh peningnya!” Salsabila bangun dari kerusi dan merebahkan badannya atas tilam. Di mata Salsabila masih terbayang wajah kanak-kanak yang cedera parah dengan badan yang penuh berlumuran darah.

Salsabila pejamkan mata, dia tidak sanggup lagi melihat kesakitan mereka. Lama-lama mata kecil itu terlelap terus.

*********************************

Tarikh 15/03/2010 hari isnin dan waktu awal pagi.

Salsabila terbangun bila terdengar bunyi bom meletup dengan kuat. Salsabila muka matanya yang masih mengantuk. Dia terperanjat bila melihat keadaan sekeliling yang begitu haru-biru.

Kedengaran orang menjerit meminta pertolongan di sana-sini, bunyi siren kereta ambulan begitu bingit. Salsabila mendapati dirinya berada di tempat asing sekali. Dia seperti berada di Palestin.

Palestin! Dada Salsabila terus berdengup kencang. Dia pandang semua orang yang sedang bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri masing-masing.

Bommm!!!!

Sebuah bom jatuh dari langit dan membedil sebuah rumah berhampiran dengan tempat Salsabila sedang terpinga-pinga. Jantung Salsabila seakan terhenti melihat rumah yang hancur berkecai. Serpihan dan habuk memenuhi udara malah ada yang terkena tubuhnya.

“Hei lari! Lari cepatttt!!!” Beberapa orang menjerit kuat kearah Salsabila namun Salsabila masih tergamam. Kakinya seakan terpaku dan tidak boleh melangkah lagi.

“Lari cepat!!!” seorang perempuan berlari laju kearah Salsabila dan menarik tangannya dengan pantas. Namun Salsabila sangat panik dan dia tidak bergerak sedikit pun.

Melihat keadaan kanak-kanak itu yang masih terkejut. Perempuan tersebut lantas mendukung Salsabila dan membawanya kesatu kawasan untuk berlindung.

“Rachel kamu sangat berani.” Seorang wanita bertudung dengan baju yang dipenuhi habuk menepuk bahu perempuan tersebut dengan senyuman.

“Dia masih terkejut, aku harus selamatkan dia.” Balas Rachel dengan penuh rendah diri.

Rachel mencapai minuman dan dihulurkan kepada Salsabila. Salsabila mencapai minuman tersebut dengan gelojoh dan terus minum dengan seluruh tubuh yang masih mengeletar ketakutan.

“Kasihan kepadanya dan semua kanak-kanak lain yang menjadi mangsa rejim zionis. Isreal memang kejam.” Ujar Rachel yang mula terbawa dengan emosi.

“Mereka terus mengebom tanpa mengira kawasan dan sesiapa. Mereka langsung tidak pedulikan gesaan PBB.” Tambah wanita bertudung itu pula.

“Kakak Palestin itu apa?” Ujar Salsabila dengan suara yang sangat perlahan. Rachel dan wanita bertudung begitu terkejut dengan pertanyaan kanak-kanak tersebut.

“Nama kakak, Rachel Corrie dan ini kakak Sabha, nama adik!” Rachel tahu mungkin kanak-kanak tersebut masih keliru dengan apa yang sedang mereka hadapi.

“Saya Salsabila … saya mahu mencari ibu dan keluarga saya.” Suara Salsabila tersekat menahan rasa sayu.

Rachel dan Sabha saling berpandangan. Mereka rasa amat simpati dengan nasib anak kecil itu. Memang setiap hari ada saja kanak-kanak yang kehilangan keluarga masing-masing.

“Salsabila kamu harus bersabar, nanti kakak berdua akan berusaha mencari keluarga kamu.” Sabha memujuk Salsabila yang sudah mahu menangis.

Salsabila rasa sangat takut berada di tempat asing seperti itu. Dia mengelengkan kepala kepada Rachel dan Sabha. Salsabila mula tersesak perlahan-lahan.

“Hisk …. Mama ….” Salsabila terus memanggil ibunya berkali-kali. Rachel dan Sabha sudah biasa dan lali dengan keadaan tersebut.

“Cepat!!! Sediakan ubatan!!!!” Kedengaran suara memberi arahan dengan sangat kuat dari luar.

Sabha dan Rachel pantas berlari kesatu arah. Kedua mereka sedang mengemaskan katil dengan menyediakan pelbagai peralatan perubatan.

“Letakkan dia di sini!” Arah Rachel dengan wajah yang begitu serius.

“Ahhh!!!!!” kanak-kanak yang sedang berlumuran darah itu terus menjerit kesakitan. Sabha mengambil kain dan mengisinya dengan ketul ais untuk menghentikan pendarahan di kepala kanak-kanak tersebut.

Salsabila tercengang melihat situasi tersebut. Matanya langsung tidak berkedip. Darah di kepala kanak-kanak tersebut terus mengalir seperti air.

“Sabar kami sedang mengubati kamu. Jangan menangis ya …” Pujuk Sabha sambil memegang erat tangan kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak tersebut kemudian tidak lagi terjerit-jerit kesakitan. Dia hanya mengerang kecil untuk menahan rasa berdenyut dan pedih di kepalanya.

Seorang lelaki bertindak seperti seorang doktor sedang merawat kanak-kanak tersebut. Salsabila dapat melihat dahi kanak-kanak tersebut yang berkerut dengan mulut yang tertutup rapat menahan kesakitan bila doktor mula menjahit kepalanya tanpa ubat pelali.

Salsabila menarik nafas panjang. Hatinya menjadi sangat sedih dan sebak. Namun dia mula mendapat semangat bila melihat kanak-kanak yang lebih kecil daripadanya itu boleh menahan kesakitan yang begitu teruk.

“Kuat betul semangat mereka.” Bisik Salsabila dalam hati. Dia menanam azam untuk mempunyai semangat yang kuat seperti kanak-kanak itu. Dia tidak boleh menangis lagi hanya kerana kehilangan keluarganya.

Bagaimana Dr. Samir?” Ujar Rachel yang susah hati memikirkan keadaan kanak-kanak tersebut.

“Semangatnya kuat mungkin dia boleh bertahan cuma ….” Kata Dr. Samir terhenti. Dia seperti memikirkan benda yang amat berat sekali.

“Cuma apa Dr. Samir?” Sabha menyoal kembali. Kata-kata Dr. Samir itu seakan memberikan gambaran buruk kepada mereka.

“Kita semakin kekurangan bekalan perubatan. Bekalan yang ada di sini juga hanya tinggal sedikit saja. Saya takut kita tidak boleh bertahan.” Dr. Samir teringat bekalan ubat mereka yang makin sedikit malah banyak bantuan perubatan yang tidak sampai kepada mereka.

“Banyak bekalan ubatan yang dihantar telah disekat oleh rejim zionis. Tentera Israel menghalang kemasukan bekalan ubatan ke wilayah ini.” Tambah Sabha yang kesal dengan sikap tidak berperikemanusian tentera Isael dalam memerangi orang Palestin.

“Kakak inikah Palestin?” Soal Salsabila menghampiri Rachel.

“Mesti kamu bukan anak tempatan, ya inilah bumi berdarah Palestin.” Balas Sabha mula menyedari yang wajah Salsabila agak berlainan dengan orang tempatan.

“Mungkinkah dia anak mana-mana duta atau pengaman yang datang ke sini. Tak mengapa nanti saya cuba mencari keluarganya.” Dr. Samir menghulurkan bantuannya kepada Salsabila.

“Terima kasih Dr. Samir, kamu semua sangat baik hati.” Salsabila rasa terharu melihat kebaikan mereka.

“Tolong!!!!!”

Jeritan kuat bergema di luar. Rachel, Sabha dan Dr.Samir dengan pantas berlari memberikan perlindungan. Salsabila juga turut berlari untuk melihat apa yang telah berlaku.

Kelihatan Dr Samir dan Sabha sedang memapah seorang wanita tua yang tercedera. Wajahnya hancur terkena serpihan bom yang meletup. Darah merah kelihatan memancut keluar dari kakinya yang juga terluka teruk.

Rachel sibuk mengemas katil dengan semua peralatan perubatan. Rachel dengan pantas meluru kearah dapur dan mengambil air panas untuk mencuci luka wanita.

“Aduh sakitnya!” Wanita tersebut mengerang kesakitan. Dia kemudian mengigit lengan bajunya untuk menahan rasa sakit.

Dr. Samir, Rachel dan Sabha sedang melakukan rawatan kecemasan kepada wanita tua tersebut. Adakalanya wanita tua tersebut menjerit kesakitan malah airmata terus mengalir di pipinya yang sudah berkedut.

Salsabila hanya melihat dengan mulut yang tertutup. Matanya tidak berkedip langsung. Kini dia semakin tertanya-tanya dengan peperangan yang berlaku. Kenapa mereka suka berperang sedangkan peperangan boleh mengorbankan nyawa orang yang kita sayang. Apakah mereka sedang berebutkan sesuatu hingga sanggup berbalah begitu.

Salsabila terus-terusan menyoal dirinya sendiri.

Agak lama kemudian mereka pun selesai merawat wanita tua yang sudah tertidur sambil menahan kesakitan.

“Sungguh durjana rejim zionis!” Sabha menjerit melepaskan rasa marah.

Sabha mencuci tangannya yang dibasahi dengan darah. Bau hanyir darah masih terlekat di baju masing-masing.

Ini bukan kali pertama, malah sejak sebulan ini mereka sudah menerima hampir berpuluh wanita tua dan kanak-kanak yang tercedera teruk akibat serangan rejim Zionis.

“Tentera Israel makin melampau. Mereka membedil seluruh Palestin tanpa belas kasihan langsung.” Rachel mengelengkan kepala dengan rasa sangat marah.

“Kak Rachel dan kak Sabha bagaimana kita boleh melawan tentera jahat itu.” Suara Salsabila bergetar. Kanak-kanak kecil itu rasa sedih melihat keadaan yang berlaku di seluruh Palestin.

“Aduh Salsabila kalaulah semua orang islam punya semangat seperti kamu, alangkah indahnya.” Sabha memeluk Salsabila dengan rasa kagum. Rachel tersenyum sinis tiba-tiba.

“Bukan orang islam saja, semua bangsa sepatutnya bersatu menentang rejim Zionis dan tentera Israel yang jahat ini. Lihatlah kuasa besar seperti Amerika sendiri hanya mendiamkan diri.” Balas Rachel membetulkan kata-kata sahabatnya.

“Betul juga kata kamu Rachel. Kamu sendiri beragama kristian tapi kamu sanggup membantu kami orang-orang Palestin.” Sabha tersenyum kerana terlepas cakap.

“Bagus jangan terlupa tentang itu.” Angguk Rachel lagi.

“Tolong!!!! Cepattttt!!!!!” Suara Dr Samir menjerit dengan kuat kedengaran di luar rumah.

Malah terdapat juga bunyi enjin jentera berat menghampiri mereka. Tanpa berlengah lagi, Sabha, Rachel dan Salsabila berlari pantas.

“Jangan!!! Hentikan …. Hentikannnn!!!!” Dr Samir berdiri di hadapan jentolak yang sedang bergerak menghampiri rumah Dr Samir yang menjadi klinik kepada mereka.

Rachel dan Sabha saling berpandangan namun mereka turut berlari untuk menghalang jentera tersebut.

Namun beberapa orang tentera Israel telah memukul kepala Dr. Samir menggunakan hujung senapang. Tubuh Dr. Samir terkulai layu. Beberapa orang tentera menarik tubuhnya ke tepi jalan dengan kasar.

“Hentikannnn!!!!” Jeritan Sabha pula bergema.

Melihat Sabha yang bertudung itu, tentera Israel terus menangkapnya dengan pantas.

“Lepaskan aku lepaskan!” Sabha meronta-ronta untuk melepaskan dirinya namun tentera Israel menutup mulutnya dengan kasar sehinggalah Sabha tidak sedarkan diri.

Rachel menjadi sayu melihat keadaan Dr. Samir dan Sabha yang sudah terkulai layu di tepi jalan. Rachel tahu, kerana dia bukan berbangsa Palestin maka tentera Israel tidak berani untuk bertindak kasar kepadanya.

“Hanya aku yang tinggal!” Bisik hati Rachel sendiri.

Dia merenung rumah yang sangat penting itu. Dalam rumah tersebut terdapat banyak bekalan ubatan untuk menyelamatkan rakyat Palestin yang tercedera.

“Jangannnnn!!!!” Rachel terus meluru kehadapan jentolak yang sedang bergerak menghampiri rumah Dr Samir.

Sedikit tidak ada rasa gentar dalam hati Rachel untuk mendepani jentolak yang makin menghampirinya. Rachel tetap akan mempertahankan rumah itu. Biarpun nyawanya akan melayang. Rumah itu sangat penting untuk orang Palestin.

“Jangannnn!!!! Berhenti!!!!”

Jeritan orang ramai yang menyuruh pemandu jentolak itu berhenti tidak diendahkan langsung. Rachel pula masih tidak bergerak. Dia berdiri di hadapan rumah tanpa mempedulikan keadaan sekelilingnya.

“Teruskan! Teruskan!!!” Tentera Israel memberi arahan kepada pemandu jentolak supaya tidak berganjak atau mengaku kalah. Jentolak makin menghampiri.

“Jangannnnn!!!!” Jeritan panjang orang ramai kedengaran.

Jentolak tersebut sudah menyentuhi tubuh Rachel. Rachel cuba bangun dan beberapa orang cuba menariknya namun tidak berdaya. Darah merah memancut keluar dari tubuh Rachel. Jentolak tersebut telah melenyek tubuh Rachel dan mengheretkan sejauh empat meter.

“Berhenti!!! Jangan!!!”

Orang ramai berteriakan hingga jentolak tersebut berhenti seketika. Orang ramai bergerak untuk mendekati Rachel namun jentolak tersebut sebaliknya mengundur kembali yang melenyek tubuh Rachel yang sudah tidak bermaya.

Orang ramai sudah berteriakkan seperti hilang akal. Mereka tidak dapat bertahan lagi. Dengan pantas seorang lelaki telah meluru dan memukul pemandu jentolak hingga pengsan.

Beberapa orang yang berada berdekatan dengan Rachel segera memapahnya. Mereka memegang kepala dan tengkuk Rachel yang sudah terkulai layu. Nafas Rachel tersekat-sekat menahan kesakitan.

Salsabila mendekati Rachel dengan tubuhnya yang mengeletar. Peristiwa itu terlalu ngeri buat dirinya.

“Kak Rachel ….” Ujar Salsabila dengan suara yang amat lemah. Rachel merenungnya dan tersenyum lemah. Serentak itu kepala Rachel kemudian terkulai layu. Beberapa orang memeriksa denyutan nadinya.

“Maaf dia sudah tiada!” Mereka mengelengkan kepala tanda Rachel sudah menghembuskan nafas terakhirnya.

“Kak Rachel!!!!!” Salsabila menjerit sekuat hati.

“Salsabila bangun, kenapa ni!” Puan Salmah mendapatkan anaknya dengan tergesa-gesa.

Salsabila memeluk ibunya dengan erat sambil menangis teresak-esak.

“Kak Rachel dah mati, mereka dah bunuh kakak Rachel!” Suara tersekat-sekat Salsabila masih dapat ditangkap oleh telinga ibunya.

“Rachel siapa Rachel?” Salmah terpinga-pinga sendiri. Dia tidak pernah mengenali Rachel.

“Rachel Corrie … kak Rachel Corrie!” Jawab Salsabila sambil terus memeluk ibunya dengan kuat sekali.

Puan Salmah menjeling layar computer di meja tulis Salsabila. Matanya yang sedikit rabun dapat melihat dengan jelas apa yang sedang terpampang di skrin biru itu.

Kisah tentang kematian seorang aktivis pengaman yang bernama Rachel Corrie demi untuk rakyat Palestin. Puan Salmah menekup mulutnya yang terngaga besar itu.

*********************************************