Wednesday, May 23, 2012

CERPEN MISTERI : Nak balik ker dah tahu ....


NAK BALIK KER DAH TAHU ….
            Hanis renung jam di pergelangan tangan. Ruangan perpustakaan masih agak ramai dengan pelajar yang mahu membuat ulangkaji. Waktu peperiksaan beginilah perpustakaan itu akan penuh dengan pelajar.
            Hanis tersenyum sendiri melihat pelajar yang sedang tekun membaca buku, ada juga yang sedang berlatih menjawab soalan secara berkumpulan malah ada juga yang sedang mengambil peluang ber’dating’ di perpustakaan tersebut.
            Hanis teruskan membaca novel bersiri yang amat diminatinya itu sambil menunggu Fazli yang masih tidak muncul. Hanis dapat melihat seorang lelaki yang agak berusia dengan tekun membaca buku.
            “Pelajar luar kampus barangkali.” Bisik hati Hanis sendiri. Kebanyakkan pelajar Luar Kampus memang terdiri dari mereka yang sudah berusia. Mereka selalu merupakan golongan pekerja yang belajar separuh masa di universiti tersebut.
            Sudah hampir dua jam menunggu namun Fazli masih tidak datang. Hanis cuba menghubunginya namun telefonnya tidak berangkat. Hanis tarik nafas bosan. Dia tidak mahu terus menunggu dan buang masa. Hanis mengambil keputusan untuk terus mengulangkaji pelajaran sendirian.
            Hanis buka buku latihan bersama dengan kertas soalan peperiksaan lalu. Hanis terus membuat latihan dengan tekun hingga tidak sedar masa yang terus berlalu.
            “Adik boleh abang duduk!” Satu suara mengejutkan Hanis yang sudah terlentok pada meja. Hanis tidak sedar yang dia sudah tertidur semasa tekun mengulangkaji.
            Hanis pandang seluruh kawasan perpustakaan yang sepi. Mungkin waktu sudah semakin lewat hanya kelihatan beberapa orang petugas yang sedang menahan rasa mengantuk di kaunter.
            “Adik boleh abang duduk?” Ujar lelaki itu lagu kepada Hanis yang masih mengantuk.
            Hanis mengangguk sambil mengesat matanya yang masih layu itu. Hanis seperti pernah melihat lelaki tadi. Rupanya itulah lelaki yang agak berusia yang dia lihat sebentar tadi.
            “Ulangkaji seorang saja, kamu tidak takut?” Lelaki tersebut memulakan bicaranya.
            “Ramai orang dekat sini nak takut apa!” Jawab Hanis agak berjenaka.
            Lelaki itu tersenyum nipis.
            “Adik baca novel misteri. Mesti suka cerita-cerita misteri.” Lelaki tersebut membelek novel misteri yang ada dihadapan mereka.
            “Bolehlah layan-layan rasa bosan.” Balas Hanis kepada lelaki yang mudah mesra.
            “Adik dah lama belajar di sini?” Soal lelaki itu lagi.
            “Adalah dekat 3 tahun, lagipun dulu saya buat diploma dan sekarang sambung ijazah.” Hanis pandang sekeliling yang makin sepi. Dia lihat jam di kaunter berdekatan. Jam bary menunjukkan pukul 10 malam.
            “Hmm .. masih awal lagi tapi dah sunyi pula.” Hanis rasa hairan, selalunya pelajar menunggu hingga perpustakaan itu tutup barulah mereka beredar. Waktu musim peperiksaan begini, perpustakaan akan beroperasi hingga pukul 12 malam.
            “Wah dah lama kamu belajar di sini yer. Hmm kamu tak ada mendengar tentang cerita misteri dalam universiti. Ceritalah boleh hilangkan rasa mengantuk.” Mesra saja lelaki tersebut membuka bicara.
            “Entahlah abang, saya jarang layan cerita-cerita karut dalam universiti. Malas saya nak percaya.” Balas Hanis lagi.
            “Oh begitu rupanya. Kamu selalu belajar hingga lewat begini, tak takutkah!” lelaki tersebut seperti ingin mengusik Hanis.
            “Ramai orang sekitar kawasan ini, buat apa nak takut.” Sanggah Hanis. Inilah pegangannya pun selama ini.
            “Kamu yakin mereka itu orang entah-entah …” Suara lelaki itu perlahan dan menyeramkan. Hanis tahu dia sengaja ingin menakutkan Hanis.
            “Hish menakutkan saya sajalah. Saya pergi tandas sekejablah.” Hanis rasa ingin memcuci muka sebelum balik.
            Hanis melangkah menuju tandas sambil mengelengkan kepalanya mengingati kembali kata-kata lelaki berkenaan.
            Kembali dari tandas, Hanis mendapati lelaki berkenaan sudah tiada. Hanis memandang seluruh kawasan tersebut untuk mencari keliba lelaki tadi. Dia terpandang lelaki tadi yang sedang  berada berdekatan rak hadapan. Hanis tersenyum namun dia kemudian tersedar sesuatu, dia kembali menoleh dan merenung lelaki terbabit.
            “Ha!” Mulut Hanis ternganga. Dia dapat melihat lelaki tadi bergerak namun kakinya tidak menjejak lantai. Hanis telan air liur menahan rasa takut. Dengan pantas dia mengemaskan semua buku dan barangan untuk beredar dari perpustakaan tersebut.
            Hanis angkat beg dan melangkah laju keluar dari pintu perpustakaan. Hanis letak kad atas kaunter dan ingin berlalu dengan laju namun dia terlanggar seseorang.
            “Maaf bang, maaf.” Ujar Hanis tergesa-gesa menguti kembali barangnya yang terjatuh.
            “Takpe … hai kenapa kamu terburu-buru. Nak kemana ni?” Soal lelaki yang dilanggarnya.
            Jantung Hanis berdenyut kencang, suara itu seperti pernah didengarnya. Hanis mendongak perlahan.
            “Ha…” Jantung Hanis seakan tidak berdenyut lagi. Rupanya itulah lelaki misteri yang menegurnya tadi.
            “Nak kemana terburu-buru?” Soal lelaki itu lagi dengan renungan tajam kepada Hanis.
            “Nak balik …” Jawab Hanis dengan suara yang terketar-ketar. Dia sudah bersedia untuk memecut lari.
            “Nak balik ker dah tahu ….” Suara lelaki itu penuh sinis dan menyeramkan. Hanis tidak menunggu lagi, dia terus membuka langkah seribu. Hanis berlari dengan sekuat hati tanpa menoleh belakang lagi.
                                    ******************************
            Fazli merenung pelajar yang masih beratur panjang dihadapannya. Dia renung jam di pergelangan tangan. Fazli tahu dia sudah terlambat untuk berjumpa dengan Hanis di perpustakaan.
            “Habislah aku.” Keluh Fazli yang tahu pasti dia akan dimarahi oleh Hanis nanti.
            Pelik Fazli melihat mesin ATM yang penuh dengan orang menunggu giliran dan dia terpaksa beratur panjang. Selalunya waktu malam begini orang sudah berkurangan.
            “Aduh ramai pula orang malam ini.” Fazli mengeluh agak kuat.
            “Betullah adik, abang pun dah tunggu lama ni!” Sampuk seorang lelaki yang berada di hadapan Fazli.
            “Oh pagi tadi okay saja saya tengok. Mungkin duit biasiswa dah keluar kot.” Balas Fazli pula memulakan perbualan dengan lelaki yang agak berusia dihadapannya itu.
            “Kamu dah lama belajar di sini?” Ujar lelaki itu untuk meneruskan perbualan dengan Fazli.
            “Lama jugalah bang dalam 4 tahun begitu.” Fazli gembira bila dapat berbual begitu, sekurangnya dia tidaklah rasa terlalu bosan menunggu.
            “Lambat lagi ni. Kamu tidak takutlah keluar belajar malam-malam begini?” Tambah lelaki itu lagi.
            “Susahlah kalau takut bang, hidup pelajar memang begini. Siang malam macam tiada bezalah.” Fazli tahu sebagai pelajar begitulah dunia mereka.
            Ada waktunya mereka terpaksa belajar hingga awal pagi untuk menyiapkan sesuatu tugasan. Dia juga sudah tidak hairan dengan perkara begitu.
            “Betul juga kata-kata kamu, tak ada cerita misteri dalam kampus!” Soal lelaki itu lagi.
            “Banyak bang tapi saya malas layan. Lagipun mereka yang suka tambah-tambah cerita. Hahahaha.” Fazli mula rasa selesa bersembang dengan lelaki tersebut.
            “Kamu tak takut?” Lelaki itu merenung Fazli lagi.
            “Ramai orang bang buat apa nak takut. Hahaaha …” Fazli ketawa lagi. Dia rasa kelakar dengan pertanyaan lelaki tersebut.
            “Hahaaha betul juga tapi cuba kamu tengok semua yang sedang berbaris di hadapan kita, kamu yakinkan mereka ini orang biasa!’ Soal lelaki itu perlahan dengan suara yang menyeramkan.
            “Hahaha .. pandailah abang buat lawak.” Fazli rasa terhibur dengan cara lelaki itu cuba membuat lawak.
            Agak lama beratur akhirnya sampailah masa mereka berdua. Lelaki tersebut mendekati mesin ATM. Dia kemudian menoleh dan mengeluarkan kad bank.
            Fazli meraba poket seluar dan mengeluarkan kad bank. Namun kad tersebut tersangkut pada bajunya dan jatuh kebawah.
            Fazli tunduk untuk mengambil kad banknya semula. Kad itu terjatuh betul-betul belakang lelaki tadi. Saat mencapai kad yang terjatuh atas lantai Fazli dapat melihat kaki lelaki tersebut. Dia bangun namun Fazli seperti rasa ada yang tidak kena.
            Dia tunduk dan merenung semula  sepasang kaki lelaki tersebut. Kakinya tidak memijak lantai lansung. Dada Fazli berombak kasar dan jantungnya mula berdenyut kencang.
            Fazli menoleh belakang dan melangkah meninggalkan tempat itu dengan segera. Dia pantas belari menuju tempat meletakkan kereta. Fazli memicit punat dah membuka pintu kereta pantas.
            “Adik kenapa terburu-buru, nak kemana?” Satu suara menegur Fazli saat Fazli ingin menutup pintu kereta.
            Fazli menoleh, namun dia terpandang wajah lelaki yang berbual dengannya tadi.
            “Saya nak balik …” Balas Fazli dengan suara yang tersangkut-sangkut.
            “Nak balik ker … dah tahu …” Ujar lelaki tadi dengan suara menyindir dan menyeramkan.
            Fazli menekan pedal minyak dan menutup pintu kereta dengan pantas. Dia kemudian meluncur laju meninggalkan kawaan kampus dengan seluruh badan yang dibasahi peluh.
                        *********************************

No comments: