Jauh di puncak Gunung Permata tersergam indah sebuah istana yang sangat cantik dan besar. Istana Salju Biru kelihatan sangat indah biarpun masih diselubungi kabus tebal. Beberapa pengawal istana sedang berbual sesama sendiri sambil memeluk tubuh menahan kesejukkan pagi. Dayang istana pula sudah mula bersiap untuk memulakan tugasan masing-masing.
Puteri Sukma menyelak jendela yang melindungi pemandangannya. Sudah menjadi rutin paginya untuk melihat keindahan tasik Hijau setiap pagi. Fikirannya akan menjadi lebih tenang bila menghayati keindahan panorama tasik Hijau.
Puteri Sukma tersenyum bila terlihat, angsa-angsa putih miliknya yang sedang memenuhi seluruh permukaan tasik. Beberapa ekor burung bangau juga kelihatan bermain di gigi air. Dari jauh angsa dan bangau berkilauan disimbah sinar mentari. Bulu putih mereka memancarkan cahaya seperti permata di tengah tasik Hijau.
“Puteri ...” Seperti biasa juga suara yang lembut itu akan menyapanya.
Setiap pagi pada detik yang sama, dayangnya Si Hitam akan menjenguknya dengan sepasang persalinan buat Puteri Sukma.
“Dayang, beta tak sukalah dengan persalinan ini. Rimas beta dengan labuci dan permata yang bertaburan pada cindai ini.” Puteri Sukma mencebik bibir setelah melihat persalinannya untuk hari ini.
“Tapi tuan Puteri, persalinan ini bonda Permaisuri yang pilihkan tadi.” Suara dayang Hitam perlahan. Dia takut tuan Puteri Sukma menolak untuk memakai persalinan yang telah di pilih oleh Permaisuri.
Siapa tidak kenal dengan ketegasan Bonda Permaisuri. Baginda sangat garang dan tegas. Malah dengan puteri Sukma yang merupakan puteri tunggalnya itu baginda juga masih bertegas. Semuanya harus mengikut perintah Bonda Permaisuri. Jangan sampai baginda merasa murka, maka buruklah padahnya.
“Dayang kenapalah hidup beta terkurung begini. Kenapa bonda selalu memarahi beta. Bonda melayan beta seperti anak tirinya saja.” Puteri Sukma mengeluh sendiri.
Dayang Hitam hanya mendiamkan diri, dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan dengan memberi pendapat yang bukan-bukan nanti.
Sebagai anak tunggal, puteri Sukma tidak pernah dimanjai oleh bondanya. Mungkin juga sebagai pemerintah negara Bonda Permaisuri harus bertegas. Bonda terpaksa menjadi ketua pemerintah Negeripura sejak Ayahanda terbunuh dalam persengketaan dengan negeri jajahan Negeripura. Tugas dan tangjungjawab yang berat membuatkan Bonda amat sibuk dan jarang bersama dengan puteri Sukma lagi.
“Tuan Puteri sudah sampai masanya untuk turun mengadap bonda Permaisuri. Waktu sarapan pagi akan bermula tidak lama lagi.” Dayang Hitam cuba mengingatkan Puteri Sukma. Dia tidak mahu bonda permaisuri rasa murka lagi dengan puterinya itu.
“Tapi beta tak suka persalinan ini. Kalaulah beta boleh hidup bebas seperti kamu dan yang lain-lain, tentu bahagia.” Puteri Sukma merungut lagi sambil, mencampakkan persalinan tersebut atas katilnya.
Dayang Hitam segera mencapai semula persalinan. Dia perlu memastikan yang Puteri Sukma memakai juga persalinan tersebut, kalau tidak mesti dia yang akan menerima hukuman dari ketua dayang istana.
“Tuan Puteri, kita kena cepat kalau tidak nanti semua angsa dan bangau di tasik Hijau akan terbang jika mentari makin meninggi.” Pujuk dayang Hitam yang tahu kelemahan puteri Sukma.
Dayang Hitam menghampiri jendela yang terbuka luas. Dia nampak sekumpulan angsa putih dan bangau yang masih bermain di permukaan air.
“Cepatlah tuan Puteri, nanti si Cendana terbang lagi seperti semalam.” Tambah dayang Hitam. Si Cendana ialah angsa putih kesayangan puteri Sukma. Cendana antara angsa putih yang besar malah ia mempunyai sayap dan bulu yang paling cantik. Bulunya akan bersinar-sinar seperti mutiara bila terkena cahaya matahari.
Tuan Puteri masih tidak bergerak. Dia tahu yang dayang sedang memujuknya seperti selalu. Puteri Sukma duduk atas katil sambil memeluk tubuh erat.
“Aduh Cendana cantiknya kamu. Tuan Puteri tengoklah Cendana sedang menari-nari. Bulunya dikembangkan dengan besar sekali.” Dayang Hitam teruja melihat perlakuan angsa putih yang sedang menunjukkan lagaknya.
Puteri Sukma terus saja berlari kejendela. Dia tersenyum lebar dan rasa amat gembira melihat Cendana yang sedang beraksi.
“Cantik betul Cendana. Cepatlah dayang, siapkan beta. Selepas sarapan kita boleh ketaman dan bermain dengan Cendana.” Puteri Sukma menjadi teruja dan terus terlupa tentang perkara tadi.
“Mari hamba siapkan tuan Puteri menjadi lebih cantik dari Cendana. Biar ia cemburu dengan tuan Puteri nanti.” Dayang Hitam mengusik puteri Sukma untuk mengembirakan hatinya.
Dayang Hitam tersenyum lega, dia dengan segera terus menyiapkan Puteri Sukma untuk acara sarapan mereka.
*******************************
Puteri Sukma menghayun buaiannya dengan kuat. Bayu yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menyamankan mereka. Buaian yang tergantung pada sebatang pokok Merbau besar terletak di tepi tasik Hijau.
Dayang yang sedia menghayun dari belakang rasa tenang melihat panorama tasik Hijau. Namun perkara yang berlaku di meja santapan tadi masih tergambar di ingatannya. Dia tahu puteri Sukma juga terdiam sejak tadi kerana perkara tersebut.
“Dayang, kenapalah ini nasib beta. Kenapa bonda tergamak mengambil keputusan tanpa meminta pendapat beta langsung.” Buaian puteri Sukma makin perlahan. Kakinya menguis rumput di tanah dengan wajah yang berkerut.
“Dayang, beta teringin sangat menjadi seperti kamu dan Kencana. Mesti hidup kamu berdua sangat bebas dan gembira.” Puteri Sukma merenung pada angsa putih yang masih berenang pada permukaan air.
Dayang Hitam terdiam, puteri Sukma memang suka mengeluh dengan nasibnya itu. Dia selalu membandingkan dirinya dengan yang lain.
“Dayang kalaulah beta ada kuasa, beta mahu bertukar menjadi kamu atau Kencana.” Tambah puteri Sukma lagi. Kali ini puteri Sukma melangkah bangun dari buaian dan mendekati tepi tasik Hijau.
“Tuan Puteri hanya melihat luarannya sahaja, permukaannya tidak selalu tidak sama dengan kebenaran.” Dayang Hitam menjawab setelah lama mendiamkan diri.
Puteri Sukma kebingungan, dia kurang paham dengan kata-kata dayang Hitam.
“Maksud kamu wahai dayang!” Ujar puteri Sukma yang ingin tahu lebih lanjut.
“Hidup hamba tidaklah seindah mana tuan Puteri. Hamba selalu berharap dapat berada di tempat tuan Puteri. Hamba selalu berangan menjadi tuan Puteri.” Dayang Hitam senyum sinis sambil menyuarakan isi hatinya.
“Hmm kalaulah kita boleh bertukar tempat ...” Puteri Sukma dan dayang Hitam mula mengeluh dan menyesali takdir masing-masing.
“Hai tuan Puteri Sukma dan dayang Hitam yang malang .. jauh benar kamu berdua termenung!” Ada satu suara nipis tiba-tiba menyapa mereka.
Puteri Sukma dan dayang Hitam saling berpadangan. Mereka kemudian mula mencari arah datangnya suara itu.
“Akulah yang bercakap ... aku Kencana!” Angsa putih ditengah tasik menghampiri keduanya.
Puteri Sukma dan Kencana seperti tidak percaya melihat keajaiban itu.
“Kencana kamu boleh bersuara, kamu boleh bercakap dengan kami?” Puteri Sukma begitu teruja. Dia mendekati pinggir tasik Hijau untuk lebih dekat dengan Kencana.
Dari jauh, angsa putih tersebut menganggukkan kepalanya. Kali ini, dayang Hitam dan Puteri Sukma terus tergamam.
“Aku boleh penuhi impian kamu berdua. Aku ada kuasa untuk menukarkan kamu tapi dengan syarat!” Kencana tiba-tiba bersuara perlahan.
“Kamu ada kuasa! Baguslah begitu ... cepatlah tukar kami segera.” Puteri Sukma melonjak gembira. Dayang Hitam tersenyum lebar. Impiannya untuk menjadi puteri raja akan terlaksana tidak lama lagi.
“Kamu tidak mahu mendengar syaratnya dulu.” Soal Kencana lagi.
“Apa saja syaratnya kami pasti akan bersetuju. Beta sudah tidak sabar untuk melihat dunia luar sebagai rakyat biasa. Beta ingin bebas.” Puteri Sukma mula membayangkan kehidupan yang lebih bebas di luar nanti.
“Betul tu Kencana, hamba juga tidak sabar untuk menjadi puteri raja. Hamba sudah tidak sabar untuk hidup dalam istana. Cepatlah Kencana jangan buang masa lagi. Kami mahu bertukar sekarang, kami sudah bosan denga diri sendiri.” Dayang Hitam pula mula berangan-angan.
Angsa putih tersenyum melihat keduanya yang sudah tidak bersabar lagi. Kencana tersenyum sinis, jeratnya hampir mengena. Memang inilah masa yang amat ditunggu-tunggu olehnya.
“Kencana cepatlah ... kamu tukarkan kami dulu dan barulah kau beritahu syaratnya.” Puteri Sukma semakin tidak keruan. Dia sudah bosan terkurung dalam istana berbelas tahun lamanya.
Kencana mengangguk dan ia kemudian mula berlegar-legar di tengah tasik dan mula membaca mentera tertentu. Tidak lama kemudian, Kencana menghampiri puteri Sukma dan dayang Hitam.
“Pejamkan mata kamu berdua. Angguklah tanda kamu setuju dengan semua syarat yang akan aku nyatakan nanti.” Angsa putih mula memberi arahan.
Dayang Hitam dan Puteri Sukma terus pejamkan mata sambil berpegangan tangan. Keduanya kemudian mengangguk dengan pantas.
“Berjanjilah yang kamu berdua tidak akan menyesal!” Ulang Kencana sekali lagi.
“Kami tak akan menyesal, cepatlah Kencana jangan asyik melengahkan masa lagi.” Puteri Sukma mengesa angsa putih supaya segera menukarkan mereka berdua.
“Bersedialah dan jangan menyesal!” Kencana mengepakkan sayapnya mengenai wajah keduanya. Dia kemudian menghembuskan mentera sihirnya kepada mereka. Secara tiba-tiba cuaca sekitar menjadi gelap gelita. Guruh berdentum dilangit. Angin bertiup kencang hingga membuatkan puteri Sukma dan dayang Hitam berpusing ditiup angin tersebut.
Tidak berapa lama kemudian, keadaan sekitar kembali seperti biasa. Puteri Sukma dan dayang Hitam mula melihat diri sendiri. Keduanya tergamam tidak percaya.
“Ahhhh apa yang dah terjadi!!!” Dayang Hitam menjerit kuat namun suaranya hanya tersangkut di keronkong. Suaranya juga sudah bertukar.
“Hahahaha ... kenapa kamu bertukar menjadi Kencana pula wahai dayang!” Puteri Sukma tertawa geli hati melihat dayang Hitam yang telah menjelma menjadi angsa putih mengantikan Kencana.
“Kenapa begini Kencana, kenapa kamu pula yang bertukar menjadi puteri raja!” Bentak dayang Hitam rasa amat marah.
Kencana yang sudah bertukar menjadi puteri Sukma tersenyum lebar. Dia melangkah dengan penuh bergaya. Dia rasa amat puas melihat mentera sihirnya yang sudah menjadi itu.
“Selagi tiada bantahan dari tuan Puteri maka aku boleh terus bertukar menjadi dirinya.” Kencana merapati tuan Puteri dengan renungan mata yang amat sayu. Dengan kuasa sihir dan menteranya, Kencana berjaya membuatkan tuan Puteri bersetuju.
“Beta tak kisah sebab beta sudah berjaya menjadi dayang Hitam. Sekarang beta mahu keluar dan hidup bebas diluar sana.” Puteri Sukma yang telah bertukar menjadi dayang Hitam segera berlari menuju pagar Istana Biru.
“Tuan Puteri janganlah pentingkan diri, tolonglah hamba.” Dayang Hitam merayu-rayu. Namun Puteri Sukma langsung tidak mempedulikannya.
Kencana yang sudah bertukar menjadi Puteri Sukma tersenyum lebar. Dia seperti sedang mengejek kebodohan dayang Hitam.
“Kamu dah berjaya memperbodohkan kami wahai angsa putih yang tidak sedarkan diri.” Dayang Hitam rasa tertipu dengan perbuatan Kencana itu.
“Bukan salah aku, kamu berdua yang terlalu taksub untuk hidup di dunia orang lain. Kamu berdua tidak bersyukur dengan apa yang ada maka inilah balasannya.” Ujar Kencana lagi yang membuatkan dayang Hitam semakin menyesal.
“Aku dah menyesal, tukarkan aku kembali. Aku mahu menjadi dayang Hitam semula. Tolonglah tukarkan aku kepada rupa asal.” Dayang Hitam merayu-rayu kepada Kencana.
“Maaf sudah terlambat.” Kencana mengelengkan kepalanya.
“Kenapa?” Soal dayang Hitam yang tidak puas hati dengan jawapan Kencana. Sayapnya mula terasa gatal dan perih. Ia cuba mengarunya dengan paruh namun gagal. Dayang Hitam dalam rupa angsa putih rasa begitu tersiksa.
“Itulah syaratnya tadi. Syarat yang telah kamu berdua terima tanpa mahu mendengar isinya. Yang bila kamu bertukar, maka kamu akan kekal dalam rupa itu selamanya. Bukankah kamu berdua telah bersetuju dengan syarat itu.” Kencana tersenyum sinis.
Dayang Hitam terpana dengan jawapan Kencana. Dia sangat menyesal sekarang, kenapalah dia bertindak terburu-buru tanpa tahu hujung pangkal. Dia sudah berjaya diperdayakan oleh angsa putih jahat itu. Air matanya mengalir laju.
Kencana yang kini telah menjadi Puteri Sukma melangkah dengan tenang memasuki perkarangan Istana Biru. Dia puas akhirnya dia berjaya juga tinggal dalam istana besar itu. Mulai hari ini, dia boleh menjadi seperti puteri raja yang tidak perlu bersusah payah mencari makanan sendiri.
“Kenapalah manusia tidak mahu bersyukur!” Bisik hati Kencana dalam rupa puteri Sukma setelah kakinya memijak lantai Istana Biru.
******************************
Puteri Sukma sudah puas merayau seluruh kawasan Negeripura hinggakan tekaknya terasa amat haus. Puteri Sukma yang sudah menjadi dayang Hitam segera menghampiri sebuah gerai berdekatan.
“Berikan beta minuman, beta haus!” Puteri Sukma memberikan arahannya seperti selalu. Peniaga tersebut tidak menghiraukan langsung dirinya.
“Hei kamu tidak dengar titah beta!” Suara puteri Sukma makin meninggi.
Peniaga tadi mula menoleh, dia merenung dayang istana yang hodoh tersebut.
“Cepatlah berikan beta minuman, beta haus. Kamu tak dengar titah beta!” Puteri Sukma menjadi geram dan hampir naik angin.
“Hei dayang hitam yang hodoh, tidak tahukah kamu berbahasa dengan orang tua. Sungguh kurang ajar.” Peniaga itu kemudian menjirus air kepada puteri Sukma.
Puteri Sukma mula tersedar, dia lihat dirinya dari atas hingga bawah. Dia terlupa yang kini dia sudah bertukar menjadi dayang Hitam. Puteri Sukma rasa malu bila orang ramai mula mengejeknya.
“Aduh dayang Hitam, kamu berangan mahu menjadi puteri raja yer. Hahahaha ... beranganlah kamu sampai bila-bila.” Ujar satu suara dari belakang dan disambut dengan ketawa besar dari semua orang.
“Aku memang puteri rajalah, akulah Puteri Sukma!” Angkuh sekali puteri Sukma mempertahankan dirinya namun kata-katanya di sambut dengan ketawa besar oleh semua orang.
“Hahahaha ... janganlah kita melayan dayang Hitam yang suka berangan ini. Hahaha ...” Semua orang mengelengkan kepala sambil mengejek puteri Sukma.
Puteri Sukma menundukkan wajahnya. Dia melangkah laju meninggalkan kawasan tersebut. Hari pula semakin gelap menandakan yang malam akan menjelma, perutnya pula semakin lapar dan dahaga.
Puteri Sukma cuba meminta simpati beberapa orang yang dijumpainya namun tidak ada sesiapa pun yang mahu menolongnya. Kakinya sudah sakit akibat berjalan tanpa berkasut. Puteri Sukma tahu yang dia mesti kembali ke istana.
Baru sehari dia hidup sebagai dayang Hitam bermacam masalah yang dia tempuhi. Sungguh susah rupanya hidup sebagai dayang Hitam. Rupanya yang hodoh dan kulitnya yang hitam pekat membuatkan orang asyik mengejeknya. Beberapa orang kanak-kanak yang dia jumpai pula, begitu seronok membaling batu kepadanya.
Puteri Sukma rasa amat menyesal. Dia sepatutnya bersyukur dilahirkan sebagai puteri raja. Dia sepatutnya bersyukur dengan semua yang sudah tersedia dalam istana.
“Pengawal tolong buka pintu ... Cepat beta sudah tidak tahan lagi.” Puteri Sukma mengoyangkan pagar istana berkali-kali. Seorang pengawal istana keluar dengan muka yang bengis.
“Hei dayang Hitam, kamu tidak dibenarkan masuk kedalam istana pada waktu malam begini!” Tegas pengawal itu menghalau puteri Sukma dengan kasar.
“Beta bukan dayang Hitam, beta Puteri Sukma. Kamu harus dengar titah beta!” Puteri Sukma menjadi marah.
“Hahahaha ... dayang Hitam kamu memang suka berangan. Dengan muka hitam dan hodoh begini, kamu fikir ada orang yang akan percaya dengan kata-kata kamu. Hahahaha ...” Pengawal itu mengejek dengan ketawa besar.
“Hei beta puteri Sukmalah, betalah tuan Puteri kamu, cepat bukakan pagar ini untuk beta. Cepatttt!!!” Puteri Sukma menjerit kuat. Dia mengoncangkan pagar tersebut dengan kuat.
“Dah pergi balik tiada sesiapa pun yang akan percayakan kamu. Pergi balik aku cakap.” Pengawal istana makin bertindak kasar. Dia cuba memukul puteri Sukma dengan sebatang kayu.
Puteri Sukma terpaksa juga beralah. Dari pagar istana dia dapat melihat biliknya yang terang benderang. Air matanya mengalir laju. Puteri Sukma rasa amat menyesal sekarang. Dia tahu yang Kencana telah berjaya mempermainkan mereka. Angsa putih telah berjaya memperbodohkan mereka.
“Kenapalah aku tidak mahu bersyukur selama ni.” Puteri Sukma menyapu airmata yang mengalir laju. Dia terduduk bawah sebatang pokok di tepi pagar istana.
Jendela dari bilik puteri Sukma terkuak perlahan. Kencana dapat melihat puteri Sukma yang telah bertukar menjadi dayang Hitam yang sedang menangis teresak. Kencana tersenyum puas. Lagipun dia sudah bosan mendengar keduanya asyik mengeluh setiap hari.
***************************
No comments:
Post a Comment