Tuesday, November 1, 2011

TSUNAMI 2004

TAJUK 2 : TSUTNAMI 2004

“Pak Leman tarik tali, cepat!” Suara Ah Meng memberikan arahan bila terasa pukat mereka semakin berat.

Pak Leman dan beberapa orang nelayan yang berada dalam bot besar tersebut terkial-kial menarik tali pukat yang begitu berat.

“Kuat lagi …kuat!!!!” Arah pak Leman kepada semua yang sedang berusaha menarik pukat naik ke atas.

“Tarikkk!!!” Semua nelayan yang berada dalam bot menambahkan kudrat mereka untuk menarik pukat naik keatas.

Ah Meng juga turut serta menarik tali pukat bersama dengan semua pekerjanya. Dari jauh kelihatan air laut yang mula berombak kasar. Jaring pukat mula nampak di permukaan air dengan ikan yang bergerak-gerak.

“Berjaya! Berjaya …. Hahaha!!!!” Pak Leman dan semua nelayan yang berada dalam bot tersebut tersenyum gembira melihat pukat yang penuh dengan pelbagai ikan.

Mereka menarik tali pukat hingga naik keatas bot. Semuanya mula sibuk melakukan kerja masing-masing. Ada beberapa orang yang sibuk mengisi ais batu dalam peti ikan. Sebilangan nelayan yang lain pula mula sibuk mengisi ikan kedalam bekas tersebut.

Setiap ikan mula dikelaskan mengikut jenis dan gred tertentu. Dengan sekelip mata saja banyak kotak ikan sudah di penuh berisi ikan segar.

Ah Meng tersenyum puas melihart hasil yang begitu lumayan itu.

“Wah Ah Meng untunglah kamu sejak dua tiga bulan ni!” Pak Leman menepuk bahu Ah Meng yang sedang tersenyum lebar.

“Rezeki kita bersama juga pak Leman.” Balas Ah Meng sambil menolong beberapa orang nelayan mengisi ikan dalam peti yang sudah terisi ais batu.

“Pak Leman rasa peliklah hasil ikan makin menjadi-jadi semenjak kebelakangan ini.” Pak Leman menyuarakan rasa hairannya. Hasil tangkapan mereka memang sangat lumayan berbanding awal tahun dahulu.

“Rezeki tuhan pak Leman, inilah masanya kita untung lebih sikit.” Ah Meng juga sedar dengan situasi itu namun dia tidak kisah, lagipun ianya memberikan keuntungan lumayan kepada semua.

“Ah Meng ni pak Leman asalkan untung semuanya dia dah tak kisah.” Ujar Hamid berjenaka.

“Semalam aku tengok berita dalam tv, persisir pantai Lumut di Perak banyak kepah yang naik kedarat. Berpesta orang di sana mengutip kepah yang penuh di pingir pantai.” Celah pak Leman pula.

“Mungkin ada petanda kot.” Balas Hamid lagi yang membuatkan pak Leman dan Ah Meng sedikit tersentak.

“Petanda apa pula ni Hamid?” Soal pak Leman dengan curiga tambahan pula dia memang rasa tidak sedap hati tentang perkara tersebut.

“Kata orang bila hidupan laut mula timbul di persisir pantai mungkin itu petanda ada bencana akan menimpa.” Balas Hamid perlahan.

“Pandai sajalah kamu ini Hamid.” Ah Meng terus menyangkal kata-kata Hamid. Dia tidak mahu semua pekerjanya menjadi takut untuk turun kelaut pula.

“Hahahaha … kamu jangan nak buat cerita pula Hamid.” Ujar Samad salah seorang nelayan yang hanya terdiam dari tadi.

“Bos ini mesti Hamid mahu curi tulang nie … Hahaha!” Balas Kamil seorang nelayan yang lain pula. Semua mata merenung kepada Hamid sambil mengelengkan kepala. Hamid tersenyum sinis.

“Jangan begitu Hamid, kalau tidak kelaut apalah anak pak Leman yang 10 orang tu nak makan.” Pak Leman turut berjenaka.

Pak Leman orang susah, pendapatannya hanya bergantung kepada kerja-kerja nelayan yang tidak seberapa itu. Wajah anaknya, Haikal dan Hana yang mahu membeli baju baru terus bermain difikiran.

“Hahaha, kamu lainlah Hamid masih bujang lagi.” Kamil menepuk bahu Hamid sambil bangun menyusun semua peti ikan yang sudah siap diisi.

“Wah bos ini hampir 70 peti ikan. Kayalah bos.” Samad terpengun dengan hasil lumayan mereka kali ini. Selalunya mereka terpaksa keluar awal pagi dan pulang lewat petang untuk mendapatkan tangkapan sebanyak itu.

“Macamana bos, kita nak teruskan atau balik saja?” Hamid mengaru kepalanya yang tidak gatal. Hamid selalu berpegang pada petua ibunya agar tidak terlalu tamak untuk mengelakkan sebarang bencana lagi pun dia ada janji dengan seseorang.

“Haiya Hamid kita jalan sikit lagi la, lewat sikit kita baliklah.” Ah Meng tidak boleh lepaskan hari yang bertuah ini.

Dia mesti mencari keuntungan sebanyak mungkin. Pesanan ayahnya yang dikenali dengan nama Tauke Sim terus menjadi pegangannya.

“Betul tu bos, jalan lagi! Jalannnn!!!!” Ujar Samad dengan penuh bersemangat.

Enjin bot nelayan besar itu mula dihidupkan. Semua nelayan bersorak gembira di tengah laut luas.

Hamid merenung air laut yang kelihatan tenang itu. Tiba-tiba dia teringatkan buah hatinya yang sedang menunggu di tepi pantai. Janganlah Suraya merajuk kerana dia mungkin akan lambat lagi untuk janji temu mereka.

“Tunggu abang ya Suraya.” Bisik hati Hamid sendiri.

*************************************

“Abang main tipu!” Hana menghentakkan kakinya dengan wajah geram. Dia merenung Haikal dengan rasa sangat marah.

“Ini bukan tipulah, ini namanya bijaksana.” Haikal tersenyum mengejek kepada Hana. Dia menjelirkan lidah untuk mengusik adiknya itu.

“Abang !!!!” Hana jadi marah dia bangun pantas dan ingin mengejar Haikal namun abangnya itu segera menyelamatkan diri.

Kedua anak kecil itu sedang berkejaran di persisiran pantai dengan berkaki ayam. Selipar mereka sudah terlempar jauh entah kemana.

“Hana tak dapat, Hana lambat!” Ejek Haikal lagi bila larian Hana makin perlahan.

“Abang Haikal main tipu mana aci!” Nafas Hana mula tersangkut-sangkut.

Dadanya berombak kasar menahan nafas. Hana sudah keletihan dengan peluh yang membasahi bajunya.

“Lalalala .. Hana tak dapat kejar abang Haikal … Lalalala!” Ejek Haikal dari jauh.

Hana makin geram, Hana tahu dia tidak mungkin boleh mengejar abangnya yang pantas berlari. Hana mula mencari akal.

“Iskkkk ….” Hana menutup wajah sambil berpura-pura menangis. Hana sengaja menguatkan tangisannya hingga menarik perhatian Haikal. Haikal yang tertawa besar mula terdiam.

Haikal mengutip kembali selipar mereka yang bergelimpangan. Dia melangkah lemah mendekati Hana.

“Hana janganlah menangis. Hana ….” Pujuk Haikal sambil berdiri berdekatan Hana. Haikal merenung lautan luas yang terbentang di hadapan mereka. Ombak kecil mula memukul kakinya.

“Iskkkk …” Hana terus menangis dengan nada yang lebih sayu sambil menutup wajahnya.

Haikal tunduk dia ingin menarik tangan Hana untuk melihat wajah adiknya itu namun Hana menutup wajahnya dengan lebih kuat.

“Hana janganlah begitu, okaylah abang Haikal kalah Hana yang menang.” Bisik Haikal pada Hana.

“Betul Hana menang abang kalah, janji yer.” Ujar Hana dengan suara yang tersangkut-sangkut.

“Betullah abang Haikal janji.” Haikal rasa bersalah pula kerana mengusik adiknya dengan agak keterlaluan hingga dia menangis begitu.

“Betul!” Hana terus menatap Haikal dengan teruja.

“Oh Hana tipu yer ….” Haikal cekak pinggang. Tiada langsung kesan airmata di pipi adiknya itu.

“Yang pasti Hana dah menang. Hahahaha ….” Hana bangun sambil menjelirkan lidah kepada Haikal.

“Mana aci Hana main tipu!” Marah Haikal yang terpedaya dengan helah Hana.

“Ini bukan tipu ini bijaksana namanya.” Hana mengulang kembali kata-kata Haikal tadi.

“Yerlah abang Haikal kalah, jomlah abang Haikal belanja Hana aiskrim.” Haikal menarik tangan adiknya itu.

“Jomlah nanti pakcik Mutu balik pulak.” Hana berlari mendekati motor aiskrim milik Mutu.

*************************************

“Hana nak aiskrim yang paling mahal!” Hana merenung semua gambar aiskrim yang tertera sambil melihat harganya. Hana angkat kening pada Haikal sambil tersenyum sinis. Gambar aiskrim Conneto bercoklat mula mengamit hatinya.

Hana kemudian menundingkan jarinya kepada gambar aiskrim yang tertera di motor aiskrim Mutu.

Mutu senyum dan pantas mengambil aiskrim tersebut dan diserahkan kepada Hana. Hana menundingkan jarinya kepada Haikal saat Mutu meminta bayaran.

Dahi Haikal berkerut, dia meraba poket seluarnya yang seakan tidak berisi lagi. Haikal jadi kaget, dia menyeluk saku pula namun wang syiling itu masih tidak ditemui.

Haikal merenung Hana yang sedang menjilat aiskrim dengan penuh nikmat.

“Pakcik Mutu duit Haikal dah tercicirlah!” Wajah Haikal merah padam. Mutu merenung dengan mata besarnya.

“Abang Haikal!” Mata Hana membutang merenung abangnya dengan geram. Haikal terkulat-kulat menahan rasa malu.

Hana seluk saku dan mengeluarkan beberapa syiling yang ada. Hana kemudian menyerahkan duit tersebut kepada Mutu.

Hana kemudian mencubit tangan abangnya dengan kasar. Rasa geram pula dia memikirkan duit simpanannya yang sudah melayang itu.

“Sakitlah Hana.” Haikal menjuihkan bibir menahan rasa sakit. Tangannya berbekas merah.

“Nak belanja orang tapi duit takde yer!” Sinis suara Hana sambil terus menjilat aiskrim tersebut.

“Hana yang nak makan Hanalah bayar.” Jawab Haikal sambil berlari laju menghampiri benteng yang tersedia. Mereka duduk melepaskan penat ambil merenung laut di hadapan.

“Lambat lagi ke ayah nak balik nie!” Rungut Hana yang tidak sabar menunggu kepulangan pak Leman.

“Sekejab lagi agaknya, lagi pun ayah selalu pulang awal sekarang.” Tambah Haikal sambil memanjangkan lehernya melihat nun jauh ketengah laut.

Dari jauh Mutu merenung Hana dan Haikal yang sedang duduk mengadap laut. Mutu tarik nafas panjang. Dia tidak sabar menunggu hari petang kerana waktu itu barulah ramai orang memenuhi kawasan tersebut.

Mutu hidupkan enjin motor, dia terlihat seorang gadis cantik yang sedang termenung sendirian di bawah pohon kelapa. Kawasan itu redup dan sesuai sekali menjadi tempat Mutu menunggu pengunjung yang lain.

************************************

“Klink! Klink! Klinkkkk!!!” Bunyi penjual aiskrim menghampirinya. Suraya membetulkan tudung yang hampir terbang ditiup angin pantai.

“Adik manis mahu beli aiskrim?” Pelawa Mutu dengan senyuman manis.

Suraya hanya mengelengkan kepala. Dia bangun sambil menjinjing beg dan membuka payung merah jambu. Dengan langkah yang diatur dengan penuh sopan dan lemah gemalai Suraya menghampiri sebuah pokok Rhu berhampiran.

Suraya melabuhkan pungung dengan menghela nafas panjang sambil menutup payung. Dia merenung jauh ketengah laut. Suraya meninjau kemungkinan kelibat bot Ah Meng muncul namun hampa.

Suraya mahu bertemu dengan Hamid. Dia ada perkara penting yang mahu disampaikan kepada Hamid. Suraya tidak boleh menunggu lagi. Hamid pula selalu berdalih dengan pelbagai alasan.

Rombongan peminangan Haji Said mula tergambar difikiran. Haji Said dan keluarga mahu meminang Suraya dan dijodohkan dengan anak sulung mereka Mikail. Mikail sudah lama menaruh hati kepada Suraya sejak kecil lagi.

Mikail berjawatan besar dan bekerja di Kuala Lumpur, apatah nak dibandingkan dengan Hamid yang berkerja sebagai nelayan di Kuala Kedah ini. Suraya tersenyum sendiri.

Entah kenapa hati Suraya sudah tertambat untuk Hamid. Suraya tahu Hamid tidak pandai dalam pelajaran namun hati budinya sangat baik. Hamid sanggup berkorban untuk tinggal di kampung demi untuk menjaga ibunya yang sudah tua.

Memang Hamidlah pilihan hati Suraya. Kali ini Suraya mahu membuat perhitungan dan dia mahu mendengar keputusan dari mulut Hamid sendiri.

“Kali ini mesti ada kata putus!” Bentak hati Suraya.

Suraya bangun dan menghampiri ombak yang mula menghempas pantai dengan lebih kasar. Angin yang bertiup juga makin kuat dan laju.

“Ahh …” Suraya terpaku bila tudungnya hampir terbang lagi. Suraya menarik tudung putih itu dan membetulkan kedudukannya semula. Suraya pandang tengah laut, entah kenapa dadanya rasa berdebar-debar pula.

“Abang Haikal tengok sana!!!!!” Suara Hana yang menjerit kuat itu turut mengejutkan Suraya.

Haikal pandang ketengah laut. Dari jauh kelihatan langit di hujung sana menjadi gelap tiba-tiba.

“Apa tu abang Haikal?” Soal Hana yang terlopong melihat langit yang menjadi hitam pekat.

“Mungkin ribut kot.” Jawab Haikal perlahan sambil merenung ketengah laut. Haikal merenung tanpa lepas. Hatinya dilanda rasa hairan.

Suraya tergamam melihat pinggir laut hujung sana yang menjadi gelap tiba-tiba.

Suasana seakan menjadi sunyi dan sepi dengan tiba-tiba. Ombak yang menghempas pantai seakan terhenti.

Haikal melihat ombak yang bergulung kasar dan tinggi tiba-tiba menghampiri mereka. Haikal pegang tangan Hana dengan kejab.

“Hana lari Hana … lari !!!!!”

Suraya berpaling melihat sepasang kanak-kanak yang sedang bertempiaran lari. Suraya menoleh perlahan untuk kembali melihat tengah laut.

Brummmm !!!!!!!!!

Ombak setinggi 7 meter menghempas pantai dengan kuat sekali.

“Tolonggggg !!!!!!” Jeritan meminta pertolongan kedengaran di sini sana. Seluruh kawasan musnah di hempas ombak besar.

“Hana lari Hana ….lari!” Haikal ingin menarik tangan adiknya namun sudah terlambat. Keduanya sudah dihempas oleh ombak yang sangat besar dan kuat. Haikal dan hana sudah hanyut entah kemana.

Suraya menahan kesakitan bila tubuhnya terasa amat perit dipukul ombak besar. Suraya tergapai-gapai meminta pertolongan namun kawasan tersebut terlalu huru-hara. Semua orang bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri sendiri.

Mulut Suraya makin lemas dimasuki air dengan banyak. Suraya cuba menyelamatkan diri dengan berpaut pada serpihan kayu. Dia cuba mencapai serpihan kayu dengan tangannya namun, tangan Suraya terasa kebas dan tidak boleh digerakkan lagi.

Suraya pejamkan mata dan dia ternampak wajah Hamid yang sedang tersenyum kepadanya,

“Hana … Hana …” Haikal yang tersangkut pada pucuk kepala mula meninjau kelibat Hana.

Jantung Haikal berdenyut laju, dia dapat melihat seluruh kawasan yang mula ditengelami air.

Ramai orang sedang tergapai-gapai kelemasan dalam air yang mengalir dengan sangat deras seperti air terjun. Ada juga antara mereka yang sudah mula ditengelami air. Banyak bangunan yang sudah ranap sama sekali. Serpihan kayu dan sampah sarap memenuhi seluruh kawasan tersebut.

“Hana!!!! Hana!!!!” Haikal terus menjeritkan nama Hana berkali-kali.

Airmatanya sudah mengalir laju di pipi. Haikal mesti selamatkan Hana. Haikal kena jaga Hana macam yang ayah selalu pesan.

Haikal ingin terjun namun ada sepasang tangan yang menghalangnya.

“Jangan bahaya!” Seorang lelaki cina menahan Haikal dari terjun.

“Tapi adik saya … Hana!” Ujar Haikal dalam keadaan yang tidak terkawal lagi.

“Bahaya … kita hanya boleh berdoa sekarang. Mungkin dunia sudah mahu kiamat.” Ujar Ah Sim yang sudah lanjut usia. Ah Sim terbayangkan nasib Ah Meng dengan pekerjanya yang sedang berada di lautan.

“Kiamat!!!” Haikal tersentak.

“Tuhan selamatkan Hana.” Haikal pejamkan matanya rapat-rapat.

****************************************

Pak Leman, Hamid, Ah Meng, Samad, Kamil dan semua yang berada atas bot nelayan besar itu saling berpandangan. Seluruh tubuh mereka basah lencun.

Wajah kesemua mereka menjadi pucat melihat apa yang berlaku didepan mata. Pak Leman membetulkan kain pelikat yang membalut kepalanya.

“Apa yang dah berlaku?” Soal Pak Leman kepada Hamid.

“Bencana!” Hanya perkataan itu yang terkeluar dari mulut Hamid yang terlopong besar.

Di hadapan mereka kelihatan sebuah perkampungan air teruk dilanda ribut taufan. Semua bangunan dan rumah runtuh dengan serpihan kayu memenuhi seluruh kawasan. Terdapat juga beberapa orang sedang terapung diatas permukaan kayu dengan berpaut pada serpihan kayu, pokok dan juga bumbung rumah yang masih terselamat.

Mereka fikir hanya mereka yang terkena ribut dilautan. Ribut dengan ombak yang agak besar menghempas bot mereka di tengah laut namun itu hanya ribut biasa. Namun apa yang sedang mereka saksikan sekarang lebih teruk. Seluruh kawasan tersebut bagai ranap di serang Garuda besar.

“Ayah!!!!” Pak Leman terdengar suara kecil Haikal memanggil namanya. Pak Leman menoleh kearah suara tersebut. Kelihatan Haikal yang sedang berpaut lemah pada pucuk kepala.

Pak Leman dan Ah Meng terus menerpa kearah pokok kelapa yang pucuknya masih terjuntai dipermukaan air. Ah Meng pantas mendapatkan bapanya yang sudah tidak berdaya lagi.

Beberapa orang nelayan yang lain tutur membantu menyelamatkan Haikal dan tauke Sim. Kedua mereka sudah terlalu lemah.

“Hana ayah … Hana …” Haikal memeluk ayahnya sambil menyebut nama Hana.

“Kenapa dengan Hana … apa yang dah berlaku Haikal?” Pak Leman seakan baru tersedar betapa teruknya situasi yang berlaku di kawasan mereka itu. Ah Meng dan nelayan yang lagi juga seakan baru teringat akan nasib yang menimpa keluarga masing-masing.

Dada masing-masing mula berombak kasar. Jantung mereka seakan mahu terhenti berdenyut saja. Muka masing-masing pucat seperti mayat. Mereka seakan tidak mahu mendengar perkataan yang terkeluar dari mulut Haikal.

“Ombak besar melanda pantai dengan kuat dan ganas. Semua orang dah tengelam dihanyutkan air.” Suara Haikal semakin sayu.

Pak Leman dan yang lain berpandangan sesama sendiri. Ada antara mereka yang terduduk lemah sambil merenung seluruh kawasan yang telah menjadi perkampungan air.

“Anak bini kita … keluarga kita … rumah kita!!!!” Suara bingit mula kedengaran atas bot tersebut. Semua mereka yang berada atas bot mula menangis nasib masing-masing.

Pak Leman memegang erat kedua tangan Haikal yang sejuk seperti ais batu. Airmata pak Leman mengalir laju. Dia merenung air yang mengalir deras sambil berharapan satu keajaiban yang Hana akan muncul di hadapan mereka.

Hamid merenung air yang mengalir deras dan dia ternampak payung merah jambu kepunyaan Suraya yang terapung dihanyutkan air. Hamid mencapai payung tersebut dengan lemah.

“Suraya !!!!” Jeritan Hamid bergema.

***************************************

1 comment:

faricamacafee said...

Casinos Near Me | Hotels Near Me | Jackson County, MS
A 문경 출장마사지 map 강원도 출장마사지 showing casinos and 화성 출장마사지 other gaming facilities located near Jackson County, 안성 출장샵 Mississippi, 익산 출장안마 based on 157 reviews and 18655 reviews.