Wednesday, May 23, 2012

CERPEN MISTERI : Nak balik ker dah tahu ....


NAK BALIK KER DAH TAHU ….
            Hanis renung jam di pergelangan tangan. Ruangan perpustakaan masih agak ramai dengan pelajar yang mahu membuat ulangkaji. Waktu peperiksaan beginilah perpustakaan itu akan penuh dengan pelajar.
            Hanis tersenyum sendiri melihat pelajar yang sedang tekun membaca buku, ada juga yang sedang berlatih menjawab soalan secara berkumpulan malah ada juga yang sedang mengambil peluang ber’dating’ di perpustakaan tersebut.
            Hanis teruskan membaca novel bersiri yang amat diminatinya itu sambil menunggu Fazli yang masih tidak muncul. Hanis dapat melihat seorang lelaki yang agak berusia dengan tekun membaca buku.
            “Pelajar luar kampus barangkali.” Bisik hati Hanis sendiri. Kebanyakkan pelajar Luar Kampus memang terdiri dari mereka yang sudah berusia. Mereka selalu merupakan golongan pekerja yang belajar separuh masa di universiti tersebut.
            Sudah hampir dua jam menunggu namun Fazli masih tidak datang. Hanis cuba menghubunginya namun telefonnya tidak berangkat. Hanis tarik nafas bosan. Dia tidak mahu terus menunggu dan buang masa. Hanis mengambil keputusan untuk terus mengulangkaji pelajaran sendirian.
            Hanis buka buku latihan bersama dengan kertas soalan peperiksaan lalu. Hanis terus membuat latihan dengan tekun hingga tidak sedar masa yang terus berlalu.
            “Adik boleh abang duduk!” Satu suara mengejutkan Hanis yang sudah terlentok pada meja. Hanis tidak sedar yang dia sudah tertidur semasa tekun mengulangkaji.
            Hanis pandang seluruh kawasan perpustakaan yang sepi. Mungkin waktu sudah semakin lewat hanya kelihatan beberapa orang petugas yang sedang menahan rasa mengantuk di kaunter.
            “Adik boleh abang duduk?” Ujar lelaki itu lagu kepada Hanis yang masih mengantuk.
            Hanis mengangguk sambil mengesat matanya yang masih layu itu. Hanis seperti pernah melihat lelaki tadi. Rupanya itulah lelaki yang agak berusia yang dia lihat sebentar tadi.
            “Ulangkaji seorang saja, kamu tidak takut?” Lelaki tersebut memulakan bicaranya.
            “Ramai orang dekat sini nak takut apa!” Jawab Hanis agak berjenaka.
            Lelaki itu tersenyum nipis.
            “Adik baca novel misteri. Mesti suka cerita-cerita misteri.” Lelaki tersebut membelek novel misteri yang ada dihadapan mereka.
            “Bolehlah layan-layan rasa bosan.” Balas Hanis kepada lelaki yang mudah mesra.
            “Adik dah lama belajar di sini?” Soal lelaki itu lagi.
            “Adalah dekat 3 tahun, lagipun dulu saya buat diploma dan sekarang sambung ijazah.” Hanis pandang sekeliling yang makin sepi. Dia lihat jam di kaunter berdekatan. Jam bary menunjukkan pukul 10 malam.
            “Hmm .. masih awal lagi tapi dah sunyi pula.” Hanis rasa hairan, selalunya pelajar menunggu hingga perpustakaan itu tutup barulah mereka beredar. Waktu musim peperiksaan begini, perpustakaan akan beroperasi hingga pukul 12 malam.
            “Wah dah lama kamu belajar di sini yer. Hmm kamu tak ada mendengar tentang cerita misteri dalam universiti. Ceritalah boleh hilangkan rasa mengantuk.” Mesra saja lelaki tersebut membuka bicara.
            “Entahlah abang, saya jarang layan cerita-cerita karut dalam universiti. Malas saya nak percaya.” Balas Hanis lagi.
            “Oh begitu rupanya. Kamu selalu belajar hingga lewat begini, tak takutkah!” lelaki tersebut seperti ingin mengusik Hanis.
            “Ramai orang sekitar kawasan ini, buat apa nak takut.” Sanggah Hanis. Inilah pegangannya pun selama ini.
            “Kamu yakin mereka itu orang entah-entah …” Suara lelaki itu perlahan dan menyeramkan. Hanis tahu dia sengaja ingin menakutkan Hanis.
            “Hish menakutkan saya sajalah. Saya pergi tandas sekejablah.” Hanis rasa ingin memcuci muka sebelum balik.
            Hanis melangkah menuju tandas sambil mengelengkan kepalanya mengingati kembali kata-kata lelaki berkenaan.
            Kembali dari tandas, Hanis mendapati lelaki berkenaan sudah tiada. Hanis memandang seluruh kawasan tersebut untuk mencari keliba lelaki tadi. Dia terpandang lelaki tadi yang sedang  berada berdekatan rak hadapan. Hanis tersenyum namun dia kemudian tersedar sesuatu, dia kembali menoleh dan merenung lelaki terbabit.
            “Ha!” Mulut Hanis ternganga. Dia dapat melihat lelaki tadi bergerak namun kakinya tidak menjejak lantai. Hanis telan air liur menahan rasa takut. Dengan pantas dia mengemaskan semua buku dan barangan untuk beredar dari perpustakaan tersebut.
            Hanis angkat beg dan melangkah laju keluar dari pintu perpustakaan. Hanis letak kad atas kaunter dan ingin berlalu dengan laju namun dia terlanggar seseorang.
            “Maaf bang, maaf.” Ujar Hanis tergesa-gesa menguti kembali barangnya yang terjatuh.
            “Takpe … hai kenapa kamu terburu-buru. Nak kemana ni?” Soal lelaki yang dilanggarnya.
            Jantung Hanis berdenyut kencang, suara itu seperti pernah didengarnya. Hanis mendongak perlahan.
            “Ha…” Jantung Hanis seakan tidak berdenyut lagi. Rupanya itulah lelaki misteri yang menegurnya tadi.
            “Nak kemana terburu-buru?” Soal lelaki itu lagi dengan renungan tajam kepada Hanis.
            “Nak balik …” Jawab Hanis dengan suara yang terketar-ketar. Dia sudah bersedia untuk memecut lari.
            “Nak balik ker dah tahu ….” Suara lelaki itu penuh sinis dan menyeramkan. Hanis tidak menunggu lagi, dia terus membuka langkah seribu. Hanis berlari dengan sekuat hati tanpa menoleh belakang lagi.
                                    ******************************
            Fazli merenung pelajar yang masih beratur panjang dihadapannya. Dia renung jam di pergelangan tangan. Fazli tahu dia sudah terlambat untuk berjumpa dengan Hanis di perpustakaan.
            “Habislah aku.” Keluh Fazli yang tahu pasti dia akan dimarahi oleh Hanis nanti.
            Pelik Fazli melihat mesin ATM yang penuh dengan orang menunggu giliran dan dia terpaksa beratur panjang. Selalunya waktu malam begini orang sudah berkurangan.
            “Aduh ramai pula orang malam ini.” Fazli mengeluh agak kuat.
            “Betullah adik, abang pun dah tunggu lama ni!” Sampuk seorang lelaki yang berada di hadapan Fazli.
            “Oh pagi tadi okay saja saya tengok. Mungkin duit biasiswa dah keluar kot.” Balas Fazli pula memulakan perbualan dengan lelaki yang agak berusia dihadapannya itu.
            “Kamu dah lama belajar di sini?” Ujar lelaki itu untuk meneruskan perbualan dengan Fazli.
            “Lama jugalah bang dalam 4 tahun begitu.” Fazli gembira bila dapat berbual begitu, sekurangnya dia tidaklah rasa terlalu bosan menunggu.
            “Lambat lagi ni. Kamu tidak takutlah keluar belajar malam-malam begini?” Tambah lelaki itu lagi.
            “Susahlah kalau takut bang, hidup pelajar memang begini. Siang malam macam tiada bezalah.” Fazli tahu sebagai pelajar begitulah dunia mereka.
            Ada waktunya mereka terpaksa belajar hingga awal pagi untuk menyiapkan sesuatu tugasan. Dia juga sudah tidak hairan dengan perkara begitu.
            “Betul juga kata-kata kamu, tak ada cerita misteri dalam kampus!” Soal lelaki itu lagi.
            “Banyak bang tapi saya malas layan. Lagipun mereka yang suka tambah-tambah cerita. Hahahaha.” Fazli mula rasa selesa bersembang dengan lelaki tersebut.
            “Kamu tak takut?” Lelaki itu merenung Fazli lagi.
            “Ramai orang bang buat apa nak takut. Hahaaha …” Fazli ketawa lagi. Dia rasa kelakar dengan pertanyaan lelaki tersebut.
            “Hahaaha betul juga tapi cuba kamu tengok semua yang sedang berbaris di hadapan kita, kamu yakinkan mereka ini orang biasa!’ Soal lelaki itu perlahan dengan suara yang menyeramkan.
            “Hahaha .. pandailah abang buat lawak.” Fazli rasa terhibur dengan cara lelaki itu cuba membuat lawak.
            Agak lama beratur akhirnya sampailah masa mereka berdua. Lelaki tersebut mendekati mesin ATM. Dia kemudian menoleh dan mengeluarkan kad bank.
            Fazli meraba poket seluar dan mengeluarkan kad bank. Namun kad tersebut tersangkut pada bajunya dan jatuh kebawah.
            Fazli tunduk untuk mengambil kad banknya semula. Kad itu terjatuh betul-betul belakang lelaki tadi. Saat mencapai kad yang terjatuh atas lantai Fazli dapat melihat kaki lelaki tersebut. Dia bangun namun Fazli seperti rasa ada yang tidak kena.
            Dia tunduk dan merenung semula  sepasang kaki lelaki tersebut. Kakinya tidak memijak lantai lansung. Dada Fazli berombak kasar dan jantungnya mula berdenyut kencang.
            Fazli menoleh belakang dan melangkah meninggalkan tempat itu dengan segera. Dia pantas belari menuju tempat meletakkan kereta. Fazli memicit punat dah membuka pintu kereta pantas.
            “Adik kenapa terburu-buru, nak kemana?” Satu suara menegur Fazli saat Fazli ingin menutup pintu kereta.
            Fazli menoleh, namun dia terpandang wajah lelaki yang berbual dengannya tadi.
            “Saya nak balik …” Balas Fazli dengan suara yang tersangkut-sangkut.
            “Nak balik ker … dah tahu …” Ujar lelaki tadi dengan suara menyindir dan menyeramkan.
            Fazli menekan pedal minyak dan menutup pintu kereta dengan pantas. Dia kemudian meluncur laju meninggalkan kawaan kampus dengan seluruh badan yang dibasahi peluh.
                        *********************************

CERPEN PATRIOTIK : PERWIRA 5 BERSAUDARA


PERWIRA LIMA BERSAUDARA
Awan hitam yang berarak laju atas kepala makin gelap dan kelabu. Asap hitam dan habuk yang muncul dari celahan bangunan runtuh memenuhi ruang udara. Rizan tutup mulutnya dengan tangan. Dia  jadi makin gelisah dan risau dengan keadaan persekitaran. Udara sudah tercemar dan dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang makin tinggi.
Cuaca pula seakan bergelap dan malam dengan cahaya samar.
“Rizan berapa lama lagi kita terpaksa begini?” Suara Hakimi yang penuh kerisauan seakan tidak kedengaran.
Keadaan di situ menjadi porak peranda. Bandar itu seakan sudah musnah dan hancur.
Rizan hanya mengelengkan kepala kepada kawan baiknya itu. Dia juga tidak punya jawapan.
“Gone City” sudah bergelap hampir seminggu rasanya. Semuanya akibat serangan raksasa pelik yang menyerang bandar itu tiba-tiba.
            Rizan tekan punat pada jam besar di pergelangan tangan. koordinasi nombor yang kelihatan di permukaan jam bertukar ganti dengan pantas.
“Hakimi kita kena bertindak cepat. Mereka dan sampai!” Rizan menjadi risau sambil memandang langit. Koordinasi nombor yang bergerak pantas menunjukkan kewujudan raksasa gergasi  makin menghampiri mereka.
Awan yang bergerak pantas juaga bagaikan petanda ada perkara buruk yang akan berlaku.
Hakimi  semakin risau. Dia tahu keadaan sudah semakin serius.
“Arhhh tolong !!!! tolonggg !!!”
Tiba-tiba terdengar satu jeritan kuat.
Di satu arah kelihatan ramai orang mula lari lintang pukang.
Mereka seolah-olah sedang dikejar sesuatu.
Rizan dan Hakimi saling berpandangan.
“Cepat kita kena selamatkan “Gone City”!” Laung Rizan penuh semangat.
Mereka berdua dengan pantas menekan punat pada jam besar di pergelangan tangan.
“Robot Biru bersedia, tukar pakaian!” Ujar Rizan  memberi arahan.
Satu cahaya biru mula menyelubungi Rizan. Bajunya berganti dengan pakaian seragam robot lengkap bersenjata berwarna biru.
“Robot Merah bersedia, tukar kenderaan !!!” Jerit Hakimi pula.
Satu cahaya merah pula menyelubungi Hakimi dan kemudian dia bertukar menjadi kereta pacuan empat roda berwarna merah. Kereta itu besar dan warnanya bersinar-sinar.
Dengan lagak seorang superhero, Rizan buka pintu kereta penuh gaya. Dia kemudian  memandu kereta tepat ke arah raksasa pelik yang sedang mengejar orang ramai.
“Keluarkan peluru berpandu!” Rizan menekan punat yang ada dalam kereta tersebut.
Dari bahagian tepi kereta kelihatan peluru berpandu sudah sedia dilepaskan.
“Tembak !!!”
Rizan menekan punat berkali-kali. Dia harus memastikan tembakan itu terkena sasaran.
“Dushh!!! Dushhh!!! Dushhhh!!!!”
Beberapa peluru sudah menembusi badan raksasa tersebut. Namun raksasa itu masih bertahan. Dia menghampiri Rizan dengan muka ganas.
Hati Rizan mula berdebar namun dia kuatkan juga semangat. Dia mesti selamatkan bandar “Gone City” dari serangan raksasa pelik tersebut.
Raksasa tersebut mengeluarkan api dari mulutnya dan menghala tepat kepada arah Rizan.
Kereta terbakar dan terpelanting jauh.
Rizan jadi marah. Dia keluar dari kereta dengan seluruh badan yang terbakar.
“Jurusan maut!!!” Jerit Rizan lagi dengan kuat. Rizan cuba melawan raksasa pelik yang ingin memukulnya. Rizan mengelakkan kepalanya dari diketuk tangan besar raksasa tersebut.
“Ahhh serangg!!! Nak ambil … ambil !!!” Rizan ingin membalas serangan itu dengan memukulnya kembali.
“Rizannnn !!!!”
Satu jeritan kuat memanggil namanya. Dia buka mata perlahan nampak wajah ibu yang menyinga di hadapannya.
“Rizan bangun!!! Bangun mandi!”
Jeritan ibu bergema. Rizan mengosok matanya berkali-kali.
Dia rasa pelik kenapa raksasa pelik itu boleh bertukar menjadi wajah ibu. Kenapa mereka berada dalam biliknya dan bukan di “Gone City”.
“Mustahil aku bermimpi lagi nie!” Rizan jadi keliru.
Mungkin raksasa itu sengaja ingin mengelirukan aku.
“Serangggg hapuskan raksasa gemukkk!!!” Rizan menghalakan tangannya tepat kearah ibu.
Puan Suraya tambah geram. Anaknya itu masih tidak sedarkan diri.
“Hei Rizannn …. buka mata tu!” Puan Suraya terus memulas telinga Rizan dengan kuat.
Rizan terkejut matanya terbuka luas.
Rizan pandang seluruh bilik yang penuh dengan pelbagai poster superhero. Ada poster Superman, Batman, Spiderman dan banyak lagilah. Dia rasa pening tiba-tiba.
“Kamu tunggu apa lagi … cepatttt!” Ibu cekak pinggang dengan muka yang merah padam. Rambut ibu mengerbang seperti singa lapar.
“Aduh sakitlah ibu!” Rizan melompat dari katil. Dia dengan pantas mencapai tuala dan berlari ke bilik air.
Puan Suraya kemaskan katil anak sulungnya yang berselerakan. Bantalnya semua jatuh kelantai.
“Hish … asyik-asyik berangan jadi superhero.” Rungut puan Suraya sambil membuka tingkap bilik Rizan.
Anak lelakinya itu memang sangat fanatik dengan superhero. Tengoklah poster-poster yang memenuhi biliknya itu hinggakan terbawa-bawa dalam mimpi.
                                                ******************************
            Rizan sudah berkali-kali menguap. Dia rasa sangat mengantuk. Semalam dia bermain permainan komputer hingga lewat malam. Cikgu Rodziah yang sedang menerangkan sesuatu dihadapan langsung tidak menarik perhatiannya.
Rizan ingat lagi dengan mimpinya semalam. Dia sangat teruja dengan mimpi itu namun mimpi indahnya itu terganggu. Raksasa di “Gone City” berganti dengan wajah ibu pulak.
Rizan tergelak sendiri. Dia rasa kelakar.
“Rizan, kenapa senyum sendiri ni. Okay bangun dan jawab soalan saya.” Dari depan cikgu Roziah sedang memberikan arahan kepada Rizan.
Rizan tersentak. Dia bangun perlahan. Semua pelajar sedang merenungnya.
Cuba kamu namakan perwira yang merupakan pahlawan Melaka pada zaman dahulu?” Cikgu Roziah berjalan menghampiri Rizan.
Dahi Rizan berkerut dia cuba memikirkan jawapannya namun buntu. Kosong!
“Hai mustahil kamu tidak kenal superhero yang lima bersaudara!” Cikgu Roziah mula memberi klu kepada Rizan.
Rizan gelengkan kepala. Dia betul-betul tidak tahu.
“Baiklah saya bagi klu … mereka perwira lima bersaudara. Kiranya merekalah superhero pada zaman dahulu!”
Cikgu Rodiah ingin membantu Rizan menjawab.
Rizan masih terkumat-kamit dengan dahi yang berkerut. Dia pandang pada Hakimi yang berada jauh belakang kelas.
“Mustahil kamu tidak tahu superhero berlima yang sangat terkenal itu.”
Ujar Cikgu Roziah mengelengkan kepala.
Pelajar sekarang kurang mengambil tahu tentang sejarah lama malah mereka tidak kenal langsung dengan tokoh-tokoh sejarah.
Rizan tahu tentu cikgu Roziah kecewa dengan pengetahuannya yang amat cetek.
Rizan pandang seluruh kelas dengan rasa malu.
“Selagi kamu tak jawab selagi tulah kamu kena berdiri.” Cikgu Roziah sengaja menegaskan suaranya bila melihat Rizan menutup rapat mulutnya tanpa mahu cuba menjawab.
Hakimi silangkan tangannya. Dia seakan memberi isyarat kepada Rizan. Rizan senyum dia sudah tahu jawapannya.
Power Ranges cikgu!” Rizan menjawab dengan selamba.
Berderai ketawa satu kelas. Seluruh kelas mengelengkan kepala dengan ketawa panjang.
Rizan tertunduk malu.
Cikgu Roziah juga tersenyum nipis.
“Kamu ni Rizan, balik nanti kamu cari dalam internet. Tanyakan sesiapa atau apa saja caranya. Esok kamu mesti bagi jawapan di hadapan kelas.”
Cikgu Roziah menyuruh Rizan duduk. Dia kemudian melangkah kehadapan kelas.
“Pelajar semua ingat esok kita akan dengar cerita dari Rizan tentang perwira lima bersaudara.”
Cikgu Roziah mengemas buku dan fail atas meja.
Dari belakang Rizan renung langkah cikgu muda itu dengan rasa kesal. Dia susah hati memikirkan  tugasan itu.
“Habislah aku!” Bisik Rizan dalam hati.
Rizan dapat melihat wajah teruja seluruh kelas yang seakan sudah tidak sabar untuk ketawa padanya.
Dia rasa risau dan gelisah memikirkan perkara itu.
                                                ******************************
            Nasi di  pinggan seakan tidak terusik langsung. Wajah risau anaknya itu ketara sekali.
Puan Suraya sumbat nasi kedalam mulut sambil merenung tajam kewajah Rizan.
Tangan Rizan kelihatan menguis nasi perlahan-lahan. Dia kemudian ingin sumbatkan nasi dalam mulut namun tak jadi. Anaknya itu macam sedang menanggung masalah besar saja.
“Macam angau jer ni …!”
Puan Suraya minum air perlahan.
“Rizan, ibu masak tak sedap ker?” Soal puan Suraya sengaja ingin melihat respon Rizan. Anaknya itu hanya mengeleng perlahan.
“Kenapa ni ada raksasa gemuk serang kamu tengah jalan ker!” Puan Suraya cuba berjenaka.
Puan Suraya senyum nipis. Dia rasa lawak teringat akan peristiwa pagi tadi.
Wajah Rizan makin masam. Dia pandang ibunya geram.
Rizan bangun menuju singki. Dia terasa yang ibu sengaja ingin menyindirnya.
“Uish Power Rangers mana boleh marah-marah!” Ajuk ibu lagi. Dia menghampiri Rizan.
“Ibu ni …” Rizan sudah tidak tahan lagi. Dia malu bila fikirkan gelagatnya pagi tadi.
“Kenapa dengan hero ibu ni?” Tanya puan Suraya lagi.
“Rizan peninglah, cikgu dekat sekolah tadi tanya bukan-bukan!” Rizan mula membuka cerita.
Ibu mengangguk perlahan.
“Lah ingatkan masalah cinta tadi …” Usik ibu lagi.
Rizan jeling ibunya. Dia makin geram.
“Ibu ni main-main pulak!” Rizan melangkah pantas menuju ruang tamu.
Dari dapur puan Suraya tersenyum sendiri. Rizan manja sebab dia anak tunggal. Puan Suraya selalu manjakan anak lelakinya itu. Dia tidak bekerja jadi Rizan mendapat sepenuh perhatian ibunya.
            Rizan tekan punat televisyen. Dia pandang jam besar yang tergantung di dinding.
“Yess!” Rizan senyum lebar. Sekarang siaran untuk rancangan Wonder Pets. Nasib baik dia tidak ketinggalan.
Dia duduk atas sofa sambil melayan rancangan itu dengan wajah riang.
“Kenapa tak panggil ibu  tengok sekali, nasib baik sempat tengok.”
Usik ibu sambil duduk sebelah Rizan. Rizan terus mencebik bibir pada ibunya.
“Kenapa dengan anak ibu ni. Cikgu tanya apa ni Rizan!” Puan Suraya cuba memujuk anaknya itu.
“Cikgu Rizan tanya siapa  perwira lima bersaudara. Manalah Rizan tahu.” Balas Rizan dengan suara perlahan.
“Hish bukan Power Rangers ker!” Sengaja puan Suraya ingin berjenaka.
“Ibu ni bukanlah!” Marah Rizan. Dia tahu ibu sengaja ingin mengusiknya.
“Kalau nak kata Ninja Turtle, mereka tiga bersaudara pula …” Puan Suraya bangun. Dia jalan mundar mandir seperti memikirkan sesuatu.
“Ibu! Bukanlah … lima bersaudara perwira zaman dahululah!” Bentak Rizan yang tidak tahan melihat ibu yang sengaja mengusiknya.
“Ohh senang je tu, Ibu pun tahu!” Balas puan Suraya dengan lagak sombong.
Rizan seperti tidak percaya. Dia mula menghampiri ibunya dengan senyuman manis.
“Ibu beritahulah Rizan … Lagipun esok cikgu nak Rizan ceritakan depan kelas.” Jelas Rizan melahirkan kerisauan pada ibunya.
Puan Suraya tambah paham kenapa anaknya itu gelisah sangat.
“Patutlah … Rizan takut nak cerita depan kelas yer.” Tambah ibu.
Rizan angguk. Memanglah dia takut nak bercerita di hadapan kelas. Semua kawan-kawan mesti akan tertawakan dia nanti.
“Itulah Rizan … asyik agung-agungkan superhero barat jer. Kita sendiri pun ada superhero tau!” Gomel ibu lagi.
Rizan dengar saja leteran ibunya itu.
“Ibu cepatlah siapa lima bersaudara tu!” Rizan sudah tidak sabar untuk mendengar jawapan ibu.
Lima bersaudara itu tentulah Hang Tuah dah kawan-kawannya!” Ibu mula membuka cerita.
Rizan sikit terpinga. Rasanya dia pernah mendengar nama itu cuma dia kurang kenal.
“Hang Tuah dan kawan-kawan?” Soal Rizan pada ibu.
“Hang Tuah, Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu. Sejak kecil lagi mereka telah menjadi superhero. Mereka melindungi  orang Melaka dari sebarang kejahatan. Mereka ada kuasa dalaman yang hebat tau, kuasa yang boleh mengalahkan semua musuh!”
Terang ibu panjang lebar.
“Maksud ibu Hang Tuah dan kawan-kawan ada kuasa misteri!”
Rizan semakin teruja untuk mendengar cerita yang keluar dari mulut puan Suraya.
“Kuasa misteri yang mereka dapati setelah mendalami ilmu persilatan. Mereka bertapa selama beberapa bulan untuk dapatkan kuasa itu. Kuasa itulah yang menolong mereka menumpaskan  semua musuh.” Puan Suraya semakin bersemangat untuk meneruskan ceritanya. Tambahan pula, Rizan seperti terpaku memandangnya tanpa berkelip langsung.
“Kuasa apa tu ibu!” Rizan semakin teruja.
Dia tidak sabar  untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
“Rizan ibu dahagalah …!” Sengaja puan Suraya menekan suaranya yang agak serak itu. Rizan membentak. Dia tahu ibu sengaja ingin mengusiknya.
“Ibu nie cepatlah! Kuasa apa yang mereka ada ibu?”
Soal Rizan semakin tidak sabar.
“Okaylah ibu sambung. Cuba Rizan fikir zaman dahulu mana ada senjata. Mana ada baju pelindung yang tebal-tebal tu. Tetapi dengan adanya kuasa tersebut. Perwira lima bersaudara tetap berjaya menyelamatkan Melaka dari sebarang ancaman musuh. Hebat tak kuasa itu, Superhero berganda-ganda tak mereka?” Soal puan Suraya sengaja ingin anaknya itu lebih berfikir.
“Tentu kuasa itu sangat hebat!” Rizan menjadi sangat taksub.
“Mestilah, cuba Rizan fikir mereka masih kecil tapi sudah mampu mengalahkan orang dewasa yang jahat. Mereka berjaya mengusir penjajah yang cuba menawan Melaka pada zaman itu. Bayangkan penjajah datang dengan kapal besar tapi lari pulang sebab takutkan mereka!”
Tambah puan Suraya yang makin semangat bercerita.
“Hebatnya kuasa tu!” Rizan mula membayangkan tentang kuasa misteri tersebut.
“Salah, bukan kuasa tu yang hebat tapi mereka berlima yang hebat! Tanpa mereka kuasa itu tidak boleh boleh buat apa-apa pun.”
Puan Suraya betulkan pandangan anaknya.
“Maksud ibu mereka yang lagi hebat dari kuasa tersebut! Wah hebatnya.” Mulut Rizan melopong. Dia pandang ibu seperti tidak percaya.
“Kuasa ni lagi hebat dari semua kuasa yang ada. Bila kita ada kuasa ini, kita akan jadi kuat lebih dari segala-galanya.”
Ibu makin semangat. Malah ibu sudah berdiri tegak di hadapan Rizan.
“Kuasa apa tu ibu!” Rizan terus terlopong dengan cerita ibunya.
“Kuasa yang sangat hebat dan kuat itu, namanya semangat dan keberanian. Semangat untuk melawan semua kuasa jahat. Semangat untuk menolong rakyat jelata. Semangat untuk mempertahankan negara. Keberanian menentang apa saja demi pertahankan tanah air! Itulah kuasa yang paling hebat. Merdeka! Merdeka! Merdeka!”
Ibu mengangkat tangannya melaungkan perkataan merdeka dengan penuh bersemangat.
Mulut Rizan ternganga luas. Matanya tidak berkedip langsung. Ibunya itu kelihatan sangat bersemangat.
 Rizan terdiam lama. Mulanya dia rasa marah pada ibu. Namun dalam hatinya seakan terdetik semangat mereka.
“Rizan betul tak kata ibu, kerana semangat dan keberanianlah negara kita mencapai kemerdekaan. Kerana semangat merekalah kita menjadi bangsa yang bebas dari sebarang penjajahanan. Negara kita aman dan damai. Cuba Rizan tengok negara-negara lain. Mereka makanan pun tidak cukup. Nasib baik kita ada perwira yang punya semangat dah keberaniankan. Hanya berbekalkan semangat dan keberanian mereka telah pertahankan negara kita!”
Terang ibu pada Rizan.
Rizan  mengangguk. Dia paham dengan apa yang cuba ibu sampaikan.
“Jadi Rizan rasa siapa yang lagi hebat. Power Rangers ker Perwira lima bersaudara? Superman ke Perwira lima bersaudara?” Soal ibu bertalu-talu.
Rizan termenung agak lama.
“Tentulah Perwira lima bersaudara! Kisah Hang Tuah dan kawan-kawannya ada dalam buku tak ibu. Bestlah Rizan nak bacalah.” Rizan rasa semakin ingin tahu dan menyelongkar sejarah Hang Tuah dan kawan-kawannya.
“Banyak Rizan, dalam internet pun banyak! Banyak lagi perwira dulu-dulu yang hebat tau. Mereka melawan musuh-musuh yang mengancam negara kita. Mereka sanggup berkorban dan ada yang mati demi mempertahankan negara kita macam Leftenan Adnan.” Ujar ibu lagi.
Rizan renung wajah ibu.
“Patutnya merekalah yang jadi superhero kita kan ibu!”  Rizan mula terfikirkan perkara tersebut.
Ibu tersenyum lebar kepada Rizan.
Rizan tiba-tiba mendapat idea bagaimana untuk membuat pembentangan di hadapan kelas esok. Dia kena berani dan bersemangat barulah boleh menjadi anak cicit kepada Perwira lima bersaudara. Dia merancang untuk mengarang sebuah syair menceritakan tentang keberanian dan semangat Hang Tuah dan kawan-kawan demi mempertahankan negara.
Tentu satu kelas akan terlopong dengan keberaniannya nanti. Sudah tentu cikgu Roziah akan bertepuk tangan bangga dengan Rizan.
Rizan rasa sudah tidak sabar lagi menunggu hari esok.

Bunga Tanda Cinta ...


 BUNGA TANDA CINTA
Fatin cedok air dari dalam bekas tong yang berisi air hujan. Fatin kemudian menjirus air kepada pokok bunga raya yang tumbuh subur di halaman rumah. Pasu-pasu bunga usang yang tersusun kemas itu basah terkena tempias air.
“Fatin jangan membazir air banyak sangat!” Suara ibu lantang menjerit dari dalam rumah.
Fatin cebik bibir, dia rasa bosan dengan leteran ibunya itu. Fatin membaling bekas kosong itu ke dalam tong air.
            Fatin duduk bertinggung hadapan pasu bunga. Dia cabut anak rumput yang mula bercabang halus. Pokok bunga raya milik bapanya itu semakin subur. Malah bunga-bunga raya yang pelbagai warna sudah bercambah. Hati Fatin jadi tenang melihat bunga-bunga raya yang pelbagai warna dan corak itu.
“Fatin buat apa lagi dekat luar tu. Masuk cepat …!” Jeritan ibu bergema lagi.
Fatin bingkas bangun. Dia masuk dalam rumah dengan tergesa-gesa.
            Kelihatan ibu sedang menyusukan Nadia. Nadia yang baru berusia dua bulan itu seakan sudah kenyang. Mata kecilnya tertutup rapat. Bulu matanya sangat halus dan jarang.
Fatin tersenyum sendiri. Nadia agak gelap mungkin dia banyak mewarisi keturunan bapa agaknya.
“Fatin kenapa termenung lagi ni. Tolong ibu pegangkan Nadia.”
Ibu cuba bangun dengan perlahan. Dia kelihatan masih lemah untuk bergerak. Fatin segera mengambil Nadia dari pangkuan ibu.
            Ibu bangun dari tilam sambil bergerak menuju bilik air. Fatin menepuk belakang Nadia perlahan-lahan. Dia tahu selepas menyusu elok bayi di tepuk sebentar.
“Brut!” Nadia tersedu perlahan. Fatin senyum puas. Mata Nadia yang kecil itu seakan terbuka sedikit.
“Nadia … Nadia ….” Fatin memanggil nama adiknya itu dengan perlahan-lahan. Mata Nadia bergerak-gerak tanda dia mendengar suara Fatin.
            Fatin sangat sayangkan Nadia. Selama ini, hanya Fatin seorang anak ibu. Kelahiran Nadia selepas 10 tahun umur Fatin memang membawa kebahagian kepada mereka sekeluarga.
Fatin tahu, kalau mengikut kata doktor, ibu sudah tidak sesuai untuk mengangdung lagi. Ibu sudah  berusia awal 40-an malah dia juga mempunyai penyakit darah tinggi.
Sebab itulah agaknya ibu masih belum sembuh dan kuat.
            Fatin tahu, untuk melahirkan anak, perempuan terpaksa menanggung sakit yang teramat. Sebab itulah ibu selalu marah-marah sekarang. Ibu sudah jarang senyum dan berbual dengannya. Banyak masa ibu habis dengan melayan Nadia atau tidur.
Kepala Nadia terlentok sedikit. Fatin agak terkejut. Dia segera baringkan Nadia atas tilam kecil berhampiran.
            Tilam dan bantal berbunga merah kecil itu direnungnya lama. Mengikut kata bapa, tilam tersebut milik Fatin masa bayi dahulu. Dah bertahun ibu simpan. Ibu memang pandai menguruskan hal-hal rumahtangga. Keluarga mereka bukannya senang. Abah hanya kerani biasa dan ibu pula tidak berkerja. Selama ini mereka hidup dengan bersederhana dalam segala hal.
“Fatin …” Tegur ibu yang berbau wangi bedak. Wajah ibu kelihatan lebih segar dan bermaya.
Fatin hanya membalas dengan senyuman kecil.
“Fatin jangan asyik berangan saja. Pergi mandi dah nak malam ni.” Ujar ibu sambil duduk perlahan atas tilam yang tersedia.
Ibu menyarung stokin dan terus memangku Nadia. Tangan Nadia bergerak perlahan.
“Anak ibu … tidur yer …” Balas ibu sambil menyusik jari-jari Nadia yang masih kecil. Fatin hanya memerhati penuh minat.
“Fatin … cepat mandi!” Ujar ibu sekali lagi.
Fatin tersentak. Dia mencium perlahan dahi kecil Nadia.
“Bau bayi …” Bisik Fatin perlahan dalam hatinya. Bayi mempunyai satu bau yang istimewa bagi Fatin. Mereka berbau bedak yang bercampur dengab bau susu. Entah kenapa Fatin sangat suka akan bau tersebut.
Anak gadis itu bangun perlahan. Faizah mengeleng perlahan melihat gelagat anaknya itu.
                                    *********************************
“Abah, Fatin nak minta duit saku lebih boleh tak?” Fatin bertanya dengan berhati-hati.
Abah yang sedang membaca akhbar mengalih pandangan. Dia renung Fatin agak lama.
“Fatin nak buat apa?” Soal Abah pada anak gadisnya. Dia rasa agak janggal dengan permintaan Fatin. Anaknya itu jarang meminta-minta selalunya.
            Fatin terdiam. Dia tahu ini bukan masa yang sesuai untuk meminta wang saku lebih. Dia tahu sekarang bapa sangat perlukan duit, tambahan pula Nadia baru lahir.
Tapi Fatin sudah berjanji dengan kawan-kawannya. Sudah banyak kali Nadia terpaksa memungkiri janji kepada kawan-kawan hanya kerana masalah kewangan.
“Fatin abah tanya ni. Fatin nak buat apa dengan wang tu?” Ujar abah perlahan. Wajah abah sedikit berkerut. Fatin tahu pertanyaannya itu membuatkan abah jadi susah hati.
“Fatin nak beli hadiah untuk cikgu Latifah. Satu kelas dah berjanji kongsi duit sama-sama.”
Terang Fatin kepada abah.
“Hadiah!” Wajah abag berkerut. Dia seperti agak terkejut.
Dari wajah abah, Fatin tahu abah menjadi resah tiba-tiba.
Mungkin dia tak patut menambah kesusahan abah. Sudahlah abah penat bekerja menambahkan pendapatan, dia pula dengan mudah-mudah nak minta wang lebih.
“Takpelah abah …” Balas Fatin dengan rasa serba salah. Dia melangkah cepat-cepat meninggalkan abah di meja makan itu.
Hadiah! Perkataan itu terus bermain di fikiran abah.
                                    *********************************
“Wah cantiknya bunga raya putih ini!”
Kencana membelek beberapa kuntum bunga raya yang sedang kembang mekar.
“Rajin ibu kamu tanam semua pokok-pokok bunga ini.” Ujar Kencana lagi. Dia pandang Fatin yang seperti termenung jauh.
“Hei kawan kamu fikirkan siapa ni!” Kencana mengusik Fatin sambil mencuit pinggangnya.
“Hish Kencana mana ada, saya susah hatilah.” Balas fatin sambil menepis usikan Kencana itu.
Susah hati kenapa pula!” Kencana duduk di tepi Fatin.
“Hmm saya ingat saya tak boleh sertai kamu semualah. Saya tak cukup duit nak kongsi untuk beli hadiah cikgu Latifah.” Fatin bersuara perlahan.
Kencana mengangguk, dia paham dengan keadaan keluarga Fatin. Mereka bukan orang berada.
“Kalau saya ada duit lebih … saya boleh bantu kamu.” Kencana mula terbayangkan tabung ayam dalam bilik. Tabung ayam itu sudah makin gemuk.
“Tak payahlah Kencana, saya tak mahu macam tu.” Fatin bangun.
Dia memang tak suka menerima simpati sesiapa. Ibu dan bapa selalu mengajarnya untuk hidup bersederhana dan jangan meminta simpati orang.
Kencana jeling Fatin. Dia tahu kawannya itu sedang susah hati.
“Fatin bunga-bunga raya kamu kembang dan cantiklah!” Ujar Kencana dengan riang. Dia mahu menukar topik.
“Tentu ada anak dara cantik yang sangat rajin ni!” Tambah Kencana mengusik Fatin.
Fatin tersenyum.
“Pokok-pokok raya semua ini abah saya yang tanam. Abah saya suka sangat dengan pokok bunga raya. Fanatik!” Balas Fatin dengan nada bergurau.
Kedua anak gadis itu tertawa kecil.
            Dari dalam rumah kedengaran bunyi tangisan kecil. Fatin bingkas meluru masuk kedalam rumah. Kencana pula mengekori langkah Fatin dari belakang.
Fatin nampak ibu yang sedang menyusukan Nadia. Dia menarik nafas lega. Fatin mengajak Kencana menghampiri ibunya.
“Adik kamu laparlah …” Usik Kencana bila melihat Nadia yang terus diam bila dapat menyusu.
Faizah senyum pada Kencana. Fatin dan Kencana merupakan kawan baik di sekolah. Tambahan pula kedudukan rumah mereka yang berdekatan membuatkan dua anak gadis itu menjadi rapat.
“Fatin buatkan teh nanti boleh ajak Kencana minum sekali.” Ujar ibu kepada Fatin. Fatin angguk dia bingkas bangun ke dapur.
“Comelkan Nadia ni makcik, gebu pulak tu!” Ujar Kencana sambil menyentuh lembut pipi gebu Nadia. Mata Nadia bergerak-gerak.
“Mana tak gebu asyik nak susu saja.” Balas Faizah kepada Kencana.
“Macam kakak dia juga gebunya.” Usik Kencana yang membuatkan Faizah juga tersenyum. Memang Nadia mirip sekali dengan wajah Fatin cuma kulit Nadia agak gelap.
“Hai mengumpat saya ker?” Fatin menegur Kencana yang seakan berbisik dengan ibunya.
Fatin letakkan dulang yang berisi air teh dan biskut kering. Dia mempelawa Kencana minum petang bersama. Faizah renung kedua anak gadis itu.
“Makcik tak mahu minun sekali?” Soal Kencana sambil menghulurkan cawan kepada Faizah.
Faizah angguk.
            Keduanya keluar dari rumah dengan senyuman. Mereka menghampiri deretan pokok bunga raya.Keadaan sudah makin petang dan hampir gelap.
“Fatin saya kena balik dululah. Dah nak gelap ni!”
Kencana berjalan menghampiri basikal merahnya yang diletakkan bawah pokok jambu.
Fatin mengiringi Kencana dengan muka gelisah.
“Kencana mereka cadang belikan hadiah apa untuk cikgu Latifah esok?” Soal Fatin ingin tahu.
“Mereka bercadang nak hadiahkan cikgu Latifah sejambak bunga ros dengan kek besar.” Jawab Kencana yang cuba mengingati perbincangan dengan ketua kelas kelmarin.
Fatin tarik nafas panjang. Wajahnya berkerut.
Kencana dapat melihat wajah Fatin yang bermasalah itu. Dia tahu Fatin sedang fikirkan tentang hari esok.
“Kencana saya rasa esok saya nak pontenglah!” Fatin membisikkan kata itu perlahan. Wajah Kencana berkerut.
“Alah kenapa pulak … janganlah sebab hadiah cikgu Latifah tu kamu nak ponteng pulak!” Kencana rasa kesal.
“Kencana kamu tak paham. Saya malulah! saya tak keluarkan duit langsung. Saya tak patut sertai kamu semua nanti. Baik saya ponteng saja.”
Fatin mula melahirkan rasa hatinya.
Kencana renung wajah Fatin yang redup itu. Kencana paham perasaan Fatin.
“Hmm … saya pahamlah Fatin. Saya kan kawan baik kamu, mestilah saya paham. Kamu jangan risau petang esok saya datang ulangkaji dengan kamu yer.”
Kencana senyum pada Fatin.
“Inilah kawan baik saya.” Balas Fatin sambil mengangkat tangan. Keduanya bertepuk tangan dengan senyuman lebar.
                        Fatin asyik pandang jam yang berdetik di dinding. Dia tahu sekarang sudah waktu kelas cikgu Latifah. Tentu kawan-kawannya sedang meraikan cikgu pelatih itu dengan gembira. Semua pelajar sayangkan cikgu Latifah sebab dia pandai mengajar dan sangat rapat dengan pelajar.
Hari ini merupakan kelas terakhir dengan cikgu Latifah sebelum dia kembali ke maktab perguruan. Fatin rasa sedih kerana tidak dapat bertemu dengan guru itu untuk kali terakhir.
“Fatin termenung lagi yer!” Sergah ibu dari belakang. Fatin agak terkejut dia kemudian melangkah perlahan ke dapur.
Faizah tahu kenapa anaknya itu tiba-tiba mengadu sakit perut. Itu cuma alasan untuk ponteng sekolah. Dia terdengar perbualan Fatin dan Kencana semalam.
“Ibu rehat biar Fatin masak yer hari ini.” Ujar Fatin kepada Faizah sambil tangannya membasuh beras dalam periuk.
Faizah duduk perlahan atas kerusi. Dia kena berhati-hati kerana luka bersalinnya masih belum sembuh.
“Ibu nak makan apa, biar Fatin masakkan!” Fatin buka api gas. Dia letakkan periuk atas dapur untuk menanak nasi.
“Apa pun Fatin masak ibu makan saja. Ibu penatlah Fatin, ibu pergi rehat sekejab yer.”
Fatin mengangguk. Ibu melangkah perlahan menuju biliknya.
            Di ruangan dapur itu kelihatan Fatin sedang sibuk memasak. Dia mengoreng ikan dan sayur. Fatin juga masakkan sup kepada ibu.
Sudahnya dia terduduk penat atas kerusi di meja makan.
Fatin renung lagi jam di dinding. Sekarang sudah hampir 2 petang. Tentu Kencana pun sudah pulang dari sekolah.
                                                            ****************************
            Fatin renung deretan pokok bunga raya yang agak layu terkena panas matahari. Hari ini panas sedikit membahang. Kipas angin dalam rumah langsung tidak dapat menyejukkan.
Fatin sengaja duduk luar rumah untuk mengambil angin luar.
Dia duduk atas kerusi rotan yang sudah buruk berhampiran pokok bunga raya. Betul kata  Kencana, bunga raya yang pelbagai bentuk dan warna itu begitu cantik dan menarik.
“Fatin!” Satu suara menegurnya dari belakang. Fatin kenal benar suara itu tapi mustahil.
Fatin menoleh segera.
“Cikgu Latifah!” Mata Fatin membutang. Dia sangat terkejut melihat cikgu Latifah di depan matanya.
Cikgu Latifah hanya tersenyum lebar.
“Cikgu masuklah dulu!” Pelawa Fatin dengan sopan.
Cikgu Latifah mengeleng.
“Nanti dululah … lagipun saya nak bersembang dengan kamu.” Ujar cikgu Latifah yang turut duduk di tepi Fatin.
“Kreeokk!” Kerusi rotan itu berbunyi saat punggung cikgu melekap atasnya.
“Maaf  cikgu …” Fatin rasa segan dengan keadaan itu. Cikgu Latifah sebaliknya berlagak biasa saja.
“Cantiknya pokok-pokok bunga kamu!” Ujar cikgu Latifah sambil tangannya menyentuh kelopak bunga raya berwarna merah terang.
Dia mencium kelopak bunga tersenyum dengan senyuman manis.
“Kenapa ponteng hari ini?” Soal cikgu Latifah yang mula agak serius. Fatin hanya menariknafas panjang.
“Kamu pelajar yang pandai. Kamu ada potensi untuk jadi pelajar cemerlang Fatin. Jangan sebab benda-benda kecik kamu patah semangat.” Cikgu Latifah mula berbicara dengan Fatin.
Fatin di sebelahnya hanya tertunduk memandang lantai.
“Cikgu tak paham …!” Balas Fatin sayu.
Cikgu Latifah merenungnya lama.
“Fatin cikgu paham. Cikgu pun orang susah juga. Malah lagi susah dari kamu. Semangat dan usaha saja yang buat cikgu berada di sini, hari ini.” Cikgu Latifah juga kelihatan menjadi sayu bila menyebut tentang dirinya.
Fatin renung wajah cikgu Latifah lama. Wajah itu sangat mulus dan tenang.
“Fatin, cikgu paling sayangkan kamu sebab kamu mengingatkan cikgu pada diri sendiri. Ingat tau, semangat dan usaha saja yang boleh ubah nasib kita.” Ujar cikgu Latifah lagi.
Fatin mengangguk. Dia terus memeluk erat cikgu muda itu.
“Cikgu …” Kedengaran suara abah dari belakang. Fatin dan cikgu Latifah menoleh agak terkejut.
“Hadiah untuk cikgu!” Abah hulurkan sesuatu yang berbungkus plastik merah kepada cikgu Latifah. Didalamnya terdapat anak pokok bunga raya yang masih kecil.
“Abah …” Fatin menjeling abahnya. Dia rasa malu bila abah menghadiahkan benda itu kepada guru kesayangannya.
Abah jadi serba-salah. Mukanya merah menahan malu.
Cikgu Latifah menyambut dengan senyuman manis.
“Bunga raya?” Soal cikgu Latifah mesra kepada abah.
“Hmm … maaflah cikgu …” Suara abah perlahan. Dia rasa amat serba salah.
“Saya memang suka sangat bunga raya. Dekat rumah saya penuh dengan koleksi bunga raya tau.” Balas cikgu Latifah dengan muka yang begitu teruja.
“Ini pakcik dah cantumkan bakanya yer!” Ujar cikgu Latifah lagi sambil membelek anak pokok bunga raya tersebut.
Abah mengangguk.
“Ha ah, saya cantumkan benih bunga warna merah, putih dan kuning.” Balas abah sambil membuka plastik tersebut.
Mereka kelihatan membelek-belek anak pokok tersebut.
“Bagusnya pakcik, dah lama sangat saya cari baka begini. Susah sangat nak dapat.” Wajah cikgu Latifah bersinar. Dia kelihatan begitu teruja dan seronok.
            Fatin pandang dengan rasa keliru. Dia seperti tidak percaya. Cikgu Latifah dapat sejambak bunga ros. Tu ha dalam kereta dia. Dari luar ini pun nampak. Mustahil dia sukakan bunga raya yang biasa ni.
“Fatin!” Cikgu Latifah menghampiri Fatin dengan senyuman.
“Terima kasih pada ayah awak yer. Anak pokok bunga raya ni dah lama cikgu cari tau. Rupanya ayah kamu pandai buat teknik cantuman.” Cikgu Latifah membelek-belek anak pokok bunga raya dengan wajah teruja.
“Peliklah!” Ujar Fatin perlahan.
Cikgu Latifah merenung Fatin.
“Apa yang peliknya?” Soal Cikgu Latifah kepada Fatin kembali.
Fatin senyum dia mengelengkan kepala.
“Jarang ada orang muda yang sukakan bunga raya!” Fatin melahirkan rasa kelirunya.
Cikgu Latifah tersenyum.
“Itu mungkin orang lain, bukan cikgu. Cikgu  sukakan bunga raya sebab ia melambangkan kita. Bunga raya bunga kebangsaan kitakan.” Cikgu Latifah ingin terangkan sesuatu kepada Fatin namun muridnya itu cepat saja memintas katanya.
“Memanglah tapi …” Fatin masih tidak puas hati dengan penerangan cikgunya itu.
“Fatin bunga raya sinonim dengan warna merah. Merah itu melambangkan semangat dan keberanian kita. Bunga raya ada lima kelopak yang menandakan lima prinsip rukun negara yang kita pegang. Kepelbagaian warna dan bentuk bunga raya mewakili kita di Malaysia. Kita yang hidup berbilang kaum dengan aman dan makmur. Kalau bukan kita yang menyanjung bunga raya yakni bunga kebangsaan kita sendiri, siapa lagi Fatin!”
Terang cikgu Latifah panjang lebar dengan penuh bersemangat. Fatin mula memikirkan kebenaran kata-kata gurunya itu.
Fatin angguk.
“Fatin kena belajar jadi warganegara yang baik. Warganegara yang berbakti dan berguna untuk keluarga, bangsa dan tanahair. Fatinlah generasi yang akan memimpin pada masa hadapan. Jadilah pemimpin yang menghargai dan mencintai budayanya sendiri. Apa kata kita mulakan semangat itu dengan belajar mencintai bunga raya, bunga kebangsaan kita sendiri!”
Nasihat cikgu Latifah lagi. Dia pegang tangan Fatin dengan erat.
“Fatin paham cikgu. Fatin dah faham!” Ujar Fatin lembut sambil mengucup mesra tangan gurunya.
Abah yang masih memerhati dari jauh tersenyum puas. Atas sebab itu jugalah dia amat fanatik kepada bunga raya bak kata anaknya itu.
                                                ********************************
                                                                        TAMAT